SEOUL, 30 MAC – Adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un hari ini membidas Presiden Korea Selatan sebagai ‘burung kakak tua yang dibesarkan Amerika’ selepas tindakannya mengkritik ujian peluru berpandu yang dilakukan Pyongyang.
Korea Utara yang memiliki senjata nuklear mempunyai sejarah yang panjang menggunakan ujian senjata untuk meningkatkan ketegangan dan pada minggu lalu, negara itu melakukan provokasi pertama sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilantik.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, yang sejak dulu mempertahankan hubungan dengan Pyongyang menyampaikan ucapan dengan berhati-hati pada Jumaat, ketika negara itu memperingati tiga serangan maut oleh Korea Utara sejak 1999, namun tidak secara khusus merujuk kepada ujian peluru berpandu.
Ucapannya itu menimbulkan kecaman dari Pyongyang, dengan Kim Yo Jong, penasihat utama kepada abangnya menyifatkan ia sebagai biadap.
Yo Jong dalam satu kenyataan melalui agensi berita rasmi KCNA, berkata beliau ‘terdiam tanpa kata-kata’ dan merujuk Jae-in hanya sebagai ‘ketua eksekutif’ Selatan, bukan dengan nama atau gelarannya.
Memanggilnya sebagai ‘burung kakak tua yang dibesarkan Amerika’, beliau mendakwa Jae-in menggunakan ‘logik seperti gangster AS’. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-12-3-Adik_31032021-1.jpg)