Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adik kau kah tu?

    Oleh Isarina@Yisalina NG –

    Peristiwa ini terjadi beberapa tahun lalu. Kejadian itu masih segar dalam ingatan saya hingga ke hari ini. Pada waktu itu, saya berumur berusia lapan tahun dan bersekolah di salah sebuah sekolah rendah kerajaan di Daerah Belait.

    Saya juga mempunyai seorang adik perempuan yang ketika itu baru berusia enam tahun. Saya dan adik bersekolah di sekolah yang sama. Kedua-dua ibu bapa kami adalah pegawai pelajaran. Mereka selalu sibuk dan kerap menghadiri mesyuarat sama ada di dalam dan di luar negara. Oleh kerana mereka selalu sibuk, saya dan adik pergi menumpang mak saudara kami pergi sekolah setiap pagi. Tambahan lagi, mak saudara saya bekerja sebagai guru besar di sekolah yang sama dengan saya dan adik.

    Pada suatu hari, ibu bapa kami memaklumkan bahawa mereka akan pergi keluar negara selama beberapa hari kerana menghadiri mesyuarat penting. Oleh kerana mereka kena pergi ke luar negara, saya dan adik di hantar ke rumah mak saudara kami selama beberapa hari kerana tidak ada orang yang menjaga kami. Rumah mak saudara amat besar dan agak sunyi meskipun dia mempunyai enam orang anak.

    Pada kebiasaanya, anak-anak mak saudara saya asyik berjalan keluar sehingga lewat malam kecuali Kak Feedah (bukan nama sebenar) yang tidak gemar keluar sehingga lewat malam. Saya dan adik memang rapat dengan Kak Feedah.

    Kadang kala sewaktu cuti sekolah kami akan pergi ke rumah mak saudara dan bertemu dengan Kak Feedah. Kak Feedah mempunyai bilik tidur yang agak besar ruangannya dan mempunyai katil dua tingkat. Walaupun Kak Feedah mempunyai katil dua tingkat akan tetapi hanya dia seorang sahaja yang tidur di bilik itu.

    Foto Canva

    Ketika waktu malam, setelah selesai makan malam. Saya dan adik menonton televisyen di ruang tamu bersama Kak Feedah. Pada waktu itu, saya masih ingat kami sedang menonton cerita seram ‘Misteri Rumah Nina’. Saya dan adik sering bergurau bahawa hantu dari cerita seram itu akan muncul di depan mata. Masin sungguh mulut kami pada waktu itu.

    Tiba-tiba mak saudara datang dan berkata kepada kami, “Bah tidur tah akhir sudah ni, esok bangun awal kan sekolah.” Saya dan adik pun terus masuk ke bilik tidur. Saya dan adik saya tumpang tidur di bilik Kak Feedah. Walaupun Kak Feedah mempunyai katil dua tingkat, saya dan adik saya mahu tidur di atas tilam menghadap katil dua tingkat Kak Feedah.

    Ketika hendak tidur, Kak Feedah mematikan semua lampu di dalam bilik tidur kecuali lampu di luar jendela bilik. Pada waktu tengah malam, tiba-tiba saya terjaga daripada tidur.

    Mata saya memandang ke arah Kak Feedah yang sedang tidur nyenyak. Kemudian saya tengok adik saya dan menyedari dia secara perlahan bangun dari tempat tidur dan terus berdiri tegak membelakangi saya.

    Saya tidak berkata apa-apa dan mata saya terus menetap ke arahnya yang sedang berdiri tegak. Wajahnya memandang jendela dan penghawa dingin. Ketika itu timbul perasaan hairan kenapa dia berdiri di situ. Lalu saya pun bangun dari tempat tidur dan ingin memangil adik.

    Pada waktu itu, saya cuba menggamit belakang badan adik saya namun tidak kena pada belakang badannya. Dia perlahan-lahan berjalan menghampiri jendela. Saya terus memangil dan cuba menggamitnya sekali lagi. Namun saya merasa hairan kerana tidak dapat menyentuhnya. Saya berasa bingung seolah-olah dia ini lutsinar. Tiba-tiba dia berjalan sambil melompat-lompat kali ini menuju penghawa dingin.

    Ketika itu, masa mula merasa geram kerana merasakan adik saya sedang mempermainkan saya. Saya cuba bangun namun tiba-tiba tangan saya terasa seperti memegang kaki seseorang. Saya pun lalu menoleh sebelah saya, rupanya adik tengah tidur nyenyak di sebelah saya.

    Alangkah terkejutnya saya melihat adik sedang tidur. “Eh Siapa tah tu?“ persoalan pun mula timbul di fikiran saya. Mata saya memandang semula pada ‘adik’ yang saya sangka tadi, kali ini dia hanya berdiri tegak dan terus membelakangi saya.

    Saya tidak berani memangil Kak Feeda kerana risau dimarahi olehnya kerana mengganggu dia yang sedang tidur. Saya pun kembali ke tempat tidur dan cuba melelapkan mata tanpa menghiraukan kejadian tersebut. Namun lembaga yang saya sangkakan adik itu masih berdiri tempat yang sama tanpa bergerak selangkah. Akhirnya saya pun terlelap tanpa memikir panjang.

    Keesokan harinya, ketika bersarapan di dapur, saya terus bertanya kepada kedua-dua sepupu saya iaitu adik kepada Kak Feedah, yang bernama Neeza dan Yani (bukan nama sebenar) mengenai apa yang berlaku semalam.

    “Eh di malam ada kamu masuk ke bilik kami kah?” tanya saya kepada mereka. “Inda, Kenapa?” tanya Yani. Saya pun menceritakan kejadian itu kepada mereka termasuk mak saudara yang juga turut bersarapan bersama waktu itu.

    “Banar kan tu? Bukannya mimpi?” ujar mak saudara saya dengan nada tidak percaya.

    Walaupun mereka tidak percaya tentang apa yang kejadian yang saya alami semalam namun saya tetap mempertahankan diri. Selepas beberapa hari, saya dan adik pun pulang ke rumah.

    Saya pun menceritakan kejadian itu kepada kedua-dia ibu bapa saya. Jawapan mereka sama seperti jawapan yang diberikan oleh mak saudara saya, yang mengatakan mungkin saya sedang bermimpi. Beberapa minggu selepas kejadian tersebut, tiba-tiba ibu memanggil saya dan memaklumkan bahawa salah seorang daripada sepupu saya yang lain, yang turut mengalami perkara yang sama seperti saya. Menurut ibu, sepupu saya itu hendak bermalam di rumah mak saudara kami.

    Pada waktu itu, dia baru sahaja keluar daripada tandas dan tiba tiba dia ternampak kelibat ‘seorang gadis’ sedang berdiri di tengah tangga. Pada mulanya, dia sangka adik saya, lalu dia pun mengejar gadis tersebut kerana gadis itu melarikan diri seolah-olah sedang bermain dengannya.

    Ketika sepupu saya itu mengejar gadis itu, tanpa sengaja dia telah terlanggar pintu masuk ruang dapur rumah itu lalu kelibat gadis itu pun hilang. Terus meremang bulu roma sepupu saya ketika itu.

    Selepas kejadian itu, sepupu saya terus maklumkan kepada ibunya yang dia tidak jadi bermalam di rumah mereka. Semenjak kejadian itu, ibu bapa dan mak saudara saya terus percaya dengan pernah saya ceritakan kepada mereka sebelum ini kerana sepupu saya yang lain turut mengalami perkara yang sama seperti saya.

    Sehingga ke hari ini, saya masih berfikir siapakah ‘gadis’ misteri itu. Tiada siapa pun tahu kenapa ‘benda’ itu muncul. Adakah kita tegur pada benda yang sepatutnya tidak boleh ditegur? Adakah kerana rumah saudara saya bersebelahan dengan sungai? Pun tidak ramai yang pasti kenapa ‘benda’ itu muncul.

    Sehingga ke hari ini, kalau saya mengingati peristiwa itu, memang meremang bulu roma saya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda