SINGAPURA, 30 JUN – Adik kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tidak akan bertanding pada pilihan raya 10 Julai nanti, sekali gus menghapuskan cabaran utama buat parti pemerintah berkenaan yang mahu mengekalkan pemerintahan selama 55 tahun.
“Saya memilih untuk tidak bertanding kerana percaya Singapura tidak memerlukan seorang lagi Lee. Saya tidak mencari kuasa, prestij, atau faedah kewangan hasil politik. Saya harap mampu menjadi pemangkin kepada perubahan,” kata Lee Hsien Yang dalam satu hantaran di Facebook, selepas tarikh akhir pencalonan ditutup.
Pengumuman Hsien Yang selepas kempen pilihan raya sembilan hari bermula hari ini mengurangkan bahang yang tercetus apabila beliau menyertai pihak pembangkang, Parti Kemajuan Singapura.
Terdahulu, proses penamaan calon bagi pilihan raya umum Singapura yang ditetapkan pada 10 Julai bermula tengah hari ini di sembilan pusat di republik itu. Selain Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah republik itu sehingga pembubaran Parlimen pada 23 Jun, Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) juga dijangka menamakan calon mereka. Parti lain termasuk Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Reformasi (RP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Hanya calon dan pasukan mereka (antaranya pencadang, penyokong, penjamin) yang dibenar memasuki pusat penamaan calon. Memandangkan prosiding berlangsung semasa negara masih berdepan ancaman COVID-19, tiada perhimpunan penyokong secara fizikal diadakan susulan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan tetapi ia boleh diikuti menerusi saluran TV atau dalam talian.
Kira-kira 2.6 juta rakyat Singapura akan memilih 93 Anggota Parlimen peningkatan daripada 89 Anggota Parlimen sebelumnya, di 31 bahagian pilihan raya.
Perwakilan terdiri daripada 14 Kawasan Anggota Tunggal (SMC) dan 17 Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC).
Ia juga merupakan pilihan raya umum keempat bagi Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong. Pada pilihan raya umum 2015, PAP mengekalkan tampuk pemerintahannya memenangi 83 kerusi. Parti Pekerja memenangi enam kerusi. – Bernama/AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-10-A_01072020.jpg)