Biarpun diuji keruntuhan rumah tangga, semangat Adira Suhaimi terus kental dalam memastikan dirinya relevan dalam industri muzik tempatan, lapor BH Online.
Terbaharu, Adira yang terkenal dengan jolokan Ratu Runut Bunyi atau Original Soundtrack (OST) tampil dengan single berjudul Kasih yang menjadi runut bunyi bagi filem Memoir Seorang Guru.
Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi, justeru, ibu kepada empat orang anak ini tidak kisah dengan jolokan Ratu OST.
Adira yang juga naib juara musim kelapan Akademi Fantasia (AF8) menganggap dirinya bertuah apabila lagu OST dirakam kerap diputarkan baik di pawagam, televisyen (TV) atau radio.
“Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di TV, ia memerlukan kos tinggi. Jadi, apabila sesebuah lagu kerap dimainkan dalam filem atau drama rantaian, mudah bagi lagu itu melekat dalam jiwa penonton,” katanya.
Adira menganggap dirinya bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat selain berbesar hati diberi penghormatan menyanyikan lagu runut bunyi.
“Sebagai penyanyi, saya okay dalam menyanyikan sebarang lagu, asalkan melodi dan liriknya sesuai dengan suara. Saya tidak terlalu memilih kerana kebanyakan lagu yang saya terima sedap didengar.
“Kepercayaan yang diberi komposer dan penulis lirik untuk merakamkan sesebuah lagu juga tidak akan diambil mudah. Saya akan pastikan beri komitmen penuh.
“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih atas peluang diberi. Bagi saya, sudah jadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman lagu,” kata-nya. – Agensi