Bijak merancang perbelanjaan, penyanyi Adira menyifatkan pelaburan emas sebagai salah satu cara dapat membantu ketika memerlukan.
Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, berkata, membeli dan menyimpan emas boleh dijadikan sebagai pelaburan untuk mendapatkan wang tunai tanpa mengira masa.
Malah ia juga mudah dengan transaksi yang dilakukan menerusi kedai pajak.
“Daripada beli benda lain, sekurang-kurangnya emas ini dapat bantu waktu kita susah. Bila berlaku kecemasan, inilah yang boleh bantu.
“Kedai pajak gadai hari-hari buka. Tetapi kalau bank tutup Sabtu dan Ahad. Jadi inilah paling cepat,” katanya.

Menurut mStar, Adira berkongsi perkara itu menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok.
Tambahnya, dia lebih memilih untuk menambah koleksi barang kemas berbanding membelanjakan wang membeli barangan peribadi lain.
“Dengarlah cakap saya ini. Kalau kita nak menyimpan, lebih baik beli emas,” ujarnya.
Adira sebelum ini tampil dengan koleksi barang kemas rekaannya sendiri menerusi kolaborasi bersama sebuah syarikat barang kemas.
Malah cincin emas yang dikenali sebagai ‘Cincin Adira’ juga mula popular dalam kalangan wanita dan sering menjadi ikutan ramai. – Agensi