Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Adriana Adnan teruja tunggu filem pertama masuk pawagam

    Selepas membina nama dalam bidang pengacaraan, Adriana Adnan kini aktif mengembangkan bakatnya sebagai pelakon yang kini turut mengundang perhatian ramai.

    Bermula dengan watak-watak pembantu, bintang yang dikenali sebagai hos program HLive itu semakin mendapat kepercayaan sebagai teraju utama.

    Tidak hanya untuk drama, Adriana, 28, kini menimba pengalaman di layar lebar pula apabila tampil menerusi filem pertamanya, Emp4t.

    Filem seram terbitan Lomo Pictures itu menyaksikan dirinya memegang watak sebagai Sree yang mempunyai kelebihan melihat entiti yang tidak dapat dilihat orang biasa.

    “Saya sangat teruja untuk menantikan filem ini masuk pawagam. Bukan sahaja kerana ia filem pertama saya, tetapi jalan cerita dan karakter yang dibawakan sangat menarik dan berbeza dengan apa yang buat sebelum ini.

    Adriana (dua kanan) bersama pengarah dan pelakon filem Emp4t ketika majlis pelancaran filem itu baru-baru ini. – Agensi

    “Filem ini memulakan penggambaran bersiri pada 2021, namun kemudiannya dikembangkan dan digarap semula sebagai sebuah filem.

    “Jadi kami kembali ke set penggambaran untuk menambah beberapa babak lagi dan baru sahaja selesai pada minggu lalu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem itu di Alchemist Code, The Vertival, Bangsar South baru-baru ini.

    Mengulas wataknya sebagai Sree, Adriana berkata, bukan mudah untuk menjayakan filem seram biarpun genre sebegitu amat digemarinya.

    “Sejak kecil lagi saya memang suka tengok cerita seram, jadi bila dapat tawaran terlibat dalam filem ini semestinya saya rasa sangat teruja.

    “Namun tidak semudah disangka kerana ia memerlukan persediaan rapi, selain tenaga yang banyak bagi memenuhi tuntutan watak.

    “Banyak benda yang saya belajar sepanjang buat filem ini dan ia menjadi pengalaman berguna untuk saya menjadi pelakon yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda