Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ADUN Satok angkat sumpah Timbalan Menteri Sarawak

    KUCHING, 17 MAC – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros)) di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri di sini, hari ini.

    Pelantikan Ibrahim yang juga Pengerusi SEB itu berkuat kuasa hari ini.

    Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas mengangkat sumpah, beliau berkata usaha Sarawak ke arah ekonomi hijau dan menjadi hab tenaga di rantau ASEAN merupakan antara misi utamanya dalam menyandang jawatan timbalan menteri itu.

    “Premier Sarawak ada berkata tentang membantu menyelaraskan industri minyak dan gas serta kepentingan tenaga boleh baharu … kita mahu melonjakkan Sarawak ke dalam grid Borneo dan menjadi pemain utama dalam sektor tenaga ini.

    “Bagi saya pelantikan ini bukan satu keistimewaan, ia amanah yang datangnya dengan tanggungjawab, jadi kita perlu memastikan kita bekerjasama untuk mencapai visi bersama dan memajukan pembangunan Sarawak,” katanya.

    Dalam pada itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelantikan Ibrahim menepati hasrat Sarawak untuk membangunkan bekalan tenaga secara strategik, selain mengkoordinasi pembangunan gas di negeri ini. Beliau berkata pengalaman ADUN Satok itu yang pernah berkhidmat dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan turut dimanfaatkan dalam proses rundingan kerjasama Petronas dan Petros.

    “Beliau (Ibrahim) dapat membantu Datuk Seri Julaihi Narawi (Menteri Utiliti dan Telekomunikasi) menyelaras dan melibatkan diri secara strategik dalam kerjasama dengan Petronas-Petros serta usaha kita menuju Pelan Hala Tuju Gas Sarawak. – Bernama

    Datuk Ibrahim Baki mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di hadapan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda