KUALA LUMPUR, 29 SEPT – Adventoro, agensi perjalanan percutian yang menawarkan percutian pengembaraan di Asia Tenggara, menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukannya dan menjadi platform pilihan utama pelancong di rantau ini pada tahun depan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ken Lau, berkata walaupun ia mempunyai kehadiran di enam negara di rantau ini selain Malaysia, banyak lagi yang ia perlu dilakukan negara-negara lain seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina berikutan saiznya yang besar dan memiliki banyak daya tarikan.
“Seperti di Malaysia, dengan pasukan kami, kami mengambil masa hampir setahun untuk meliputi destinasi yang kami ada sekarang. Saya rasa bagi Indonesia, Thailand dan Vietnam kami akan mengambil masa yang lebih lama untuk meliputi semua destinasi, jadi ia akan menjadi fokus segera kami bagi tahun ini dan tahun depan.
“Kami tahu had kami kerana kami tidak memiliki sumber yang besar. Walaupun kami mempunyai dana, ia bukanlah jenis yang berkekalan, jadi kami perlu lebih berpilih dalam destinasi yang kami mahu melakukan pengembaraan,” katanya kepada Bernama. Beliau berkata sebelum melebarkan sayap ke negara-negara baharu, Adventoro akan memastikan ia menggunakan sebanyak mungkin aktiviti dan daya tarikan di negara-negara yang ia telahpun mempunyai operasi.” – Bernama