THE HAGUE, 28 April – Jurulatih veteran Dick Advocaat (gambar bawah) dijadualkan kembali berkhidmat bagi kali ketiga mengetuai pasukan kebangsaan dengan Ruud Gullit sebagai pembantu, akhbar De Telegraaf melaporkan pada Khamis.
Lelaki berusia 69 tahun, kini bertugas di kelab Fenerbahce, Turki akan mengambil alih daripada Danny Blind yang dipecat bulan lalu selepas Belanda kalah 2-0 kepada Bulgaria menyebabkan peluang pasukan untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia terancam .
De Telegraaf berkata, hanya beberapa perincian masih perlu diselesaikan memandangkan Advocaat masih mempunyai kontrak dengan Fenerbahce sehingga 1 Jun tetapi perlu dibebaskan tepat pada masanya untuk aksi persahabatan menentang Maghribi pada 31 Mei.
Belanda, tiga kali muncul naib juara Piala Dunia dan mempamerkan rentak tidak menentu sejak kebelakangan ini, gagal layak ke Euro 2016 di Perancis dan kini menghadapi prospek hilang daripada Piala Dunia di Rusia tahun depan.
Kekalahan di Sofia menyebabkan Belanda menduduki tempat keempat dalam Kumpulan A, ketinggalan enam mata di belakang Perancis.
Penyokong yang bergantung harap pada Advocaat yang membimbing pasukan kebangsaan dari 1992 hingga 1994 dan dari 2002 hingga 2004, boleh bersandar dengan pengalaman luas beliau untuk menarik kembali sentuhan ajaib skuad Orange. – AFP