Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aedy Ashraf terima cabaran watak berbeza

    Selepas dikenali menerusi watak-watak romantik dan aksi, pelakon Aedy Ashraf tampil dengan sisi berbeza dalam filem terbarunya, Klepet yang bakal menjengah pawagam pada 27 November ini.

    Filem arahan Indra Putra atau Sanji itu bukan sekadar menonjolkan kelainan dari segi genre dan gaya lakonan, tetapi turut memperlihatkan kematangan Aedy sebagai pelakon.

    “Watak saya dalam filem ini sebagai Pali. Ia mengisahkan mengenai tiga sahabat dalam usia muda dan bercita-cita tinggi, namun tak tahu bagaimana nak menggapai impian mereka.

    “Saya percaya ramai remaja juga menghadapi hal yang sama yang mana, mereka mempunyai impian besar, tetapi belum tahu cara untuk mencapainya.

    “Mesej utama yang cuba disampaikan dalam filem ini ialah, jika kita tidak tahu bagaimana hendak mencapai impian, kita akan berdepan banyak halangan, dan halangan itu boleh menjauhkan kita daripada impian itu,” katanya.

    Aedy Ashraf tonjol sisi baharu dalam Klepet. – Berita Harian Online

    Uniknya, watak Pali sedikit istimewa dan pada masa sama, mencabar Aedy kerana perlu bertutur dalam gaya pelat.

    “Watak Pali sendiri mempunyai keunikan kerana dia seorang yang sedikit pelat dalam pertuturannya. Tapi sebenarnya, pelat itulah yang menggerakkan jalan cerita utama filem ini.

    “Saya tak boleh dedahkan, tapi boleh saya katakan bahawa kelemahan pertuturan Pali yang mencetuskan konflik besar sejak awal cerita,” katanya.

    Menariknya, dia dan pelakon-pelakon lain seperti Meerqeen serta Nadhir Nasar menjayakan watak mereka secara bersahaja dan semula jadi.

    “Kami banyak mengimbas zaman kanak-kanak untuk menjiwai watak masing-masing. Kami cuba salurkan semangat bebas dan polos waktu kecil ke dalam lakonan kami. Ia sangat menyeronokkan.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda