Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aedy Ashraf tidak perlu gosip untuk relevan

    Aedy Asyraf bukan nama asing lagi dalam industri hiburan Malaysia. Bermula seawal usia 10 tahun, dia menggambarkan setiap fasa dalam kariernya baik kejayaan mahu pun kegagalan telah membentuk siapa dirinya pada hari ini.

    Bagi Aedy, perjalanannya dalam bahtera seni itu dianggap sebagai perjuangan, prinsip dan kepercayaan yang tidak pernah goyah terutama dalam mengharungi cabaran dunia hiburan yang semakin mencabar.

    “Saya percaya, Tuhan tidak pernah silap susun perjalanan hidup kita. Saya membesar dengan dunia seni tetapi dalam masa yang sama, saya membesar dengan banyak tekanan.

    “Saya pernah gagal banyak kali. Ada masa orang lupa saya, ada masa saya rasa tidak cukup bagus tetapi bila difikirkan semula, itulah yang membentuk saya menjadi manusia sekarang.

    “Saya jarang ada masa rehat. Kadang-kadang rasa sunyi juga tetapi saya tahu, kalau saya tidak kerja keras waktu itu, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.

    Aedy menganggap perjalanannya dalam seni sebagai perjuangan mengharungi cabaran dunia hiburan yang semakin mencabar. – Utusan Malaysia

    Kongsi Aedy lagi, zaman remajanya tidaklah seindah orang lain. Ketika rakan sebaya sibuk dengan rutin sekolah dan masa lapang, kata Aedy, dia banyak menghabiskan masa di set penggambaran.

    Biarpun bertahun-tahun menjadi pelakon di hadapan kaca lensa, Aedy mengakui dia masih berasa canggung setiap kali memulakan projek baharu.

    “Saya masih rasa saya baru dalam dunia seni ini, setiap watak ada cabarannya sendiri. Bila orang beri kepercayaan, saya kena bagi sepenuh hati,” ujarnya.

    Bagi pelakon Tentang Bulan itu, lakonan bukan sekadar menghafal dialog atau menangis di hadapan kamera. Ia adalah seni menyelami jiwa manusia memahami emosi, merasai kesedihan dan menyampaikan makna kehidupan dengan cara yang halus.

    “Kalau penonton boleh menjiwai apa yang saya cuba lakonkan, itu sudah cukup bagi saya. Lakonan bukanlah tentang dikenang ramai sahaja tetapi tentang menitip rasa dalam jiwa penonton.

    “Sekarang semua orang boleh jadi popular dalam sekelip mata tetapi saya percaya populariti tidak akan kekal jika tak ada nilai dalam kerja kita. Saya nak orang kenal kerana hasil, bukan sebab kontroversi,” tegasnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda