Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AEM ke-57: Persiapan akhir lancar, sedia sambut lebih 500 delegasi

    KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Persiapan bagi Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di ibu negara yang bermula esok, kini berjalan lancar dengan pelaksanaan beberapa sentuhan akhir bagi memastikan kelancarannya.

    Sebanyak 20 mesyuarat serta program sampingan dijangka berlangsung sepanjang tempoh 22 hingga 26 September ini dengan kehadiran lebih 500 delegasi dari negara anggota ASEAN serta rakan dialog.

    Tinjauan Bernama di lokasi penganjuran iaitu Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), mendapati para petugas bertungkus-lumus melakukan persiapan terakhir menjelang sidang mesyuarat yang bermula esok.

    Sementara itu, ketika ditemui, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Mastura Ahmad Mustafa berkata beliau berpuas hati dengan persiapan bagi AEM dan mesyuarat berkaitannya, setakat ini.

    “Persediaan itu hampir 80 peratus dan kita harap esok (delegasi) dapat hadir dan mesyuarat dimulakan dengan lancar sekali,” katanya.

    Tidak ketinggalan, pasukan Sekretariat Media turut melakukan kerja-kerja akhir pemasangan peranti elektronik dan internet di Pusat Media Antarabangsa (IMC) bagi kemudahan petugas media terbabit.

    Penyelaras IMC merangkap Ketua Sekretariat Media, Zaria Mohd Nasri berkata kira-kira 300 pengamal media daripada agensi berita tempatan dan antarabangsa dijangka hadir membuat liputan.

    “Setakat ini, kerja-kerja pemasangan telah 95 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya petang ini. Pasukan sekretariat juga telah memulakan gerak kerja bagi mesyuarat pertama yang akan berlangsung esok iaitu Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM),” katanya. – Bernama

    Gambar menunjukkan para petugas menyusun bendera negara anggota ASEAN dan rakan dialog sebagai persiapan menjelang AEM ke-57 di MITEC, Kuala Lumpur pada 21 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda