AEM menuju pelaburan terbuka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) – Konsultasi Rakan Dialog telah diadakan melalui persidangan video pada 13 hingga kelmarin di mana mesyuarat-mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat-mesyuarat itu telah dihadiri secara maya oleh menteri-menteri ekonomi dari 10 buah negara anggota ASEAN (AMS) dan rakan-rakan dialog iaitu Australia, New Zealand, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah (EU), Hong Kong, China, Republik India, Jepun, Republik Korea, Persekutuan Rusia, Switzerland, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) serta Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan mengenai perkembangan kerjasama ekonomi dan pelaksanaan beberapa inisiatif di antara ASEAN dan setiap rakan dialog, dan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan global dan serantau terutamanya tindak balas terhadap kesan ekonomi dan pandemik COVID-19 dan seterusnya membincangkan kerjasama yang dapat dilaksanakan bagi mengurangkan impak penularan wabak dan usaha ke arah pemulihan ekonomi.

Pada Konsultasi AEM-Kementerian Perdagangan, China (MOFCOM) ke-20 yang diadakan pada 13 September lalu, mesyuarat bertukar-tukar pandangan bagi memastikan persekitaran perdagangan dan pelaburan di antara ASEAN-China supaya menjadi lebih kondusif, terbuka dan inklusif.

Mesyuarat juga mengongsikan perkembangan terkini bantuan Republik Rakyat China kepada ASEAN serta perkembangan terkini ekspo-ekspo perdagangan yang telah pun dan yang akan datang dianjurkan oleh Republik Rakyat China seperti China-ASEAN Expo (CAEXPO) dan China International Import Expo (CIIE).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) – Konsultasi Rakan Dialog, yang diadakan melalui persidangan video. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi