KUALA LUMPUR, 25 SEPT – Mesyuarat Menteri-menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-4 akan membincangkan cara untuk meningkatkan aliran perdagangan di rantau ini pada hari keempat Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan hari ini.
Mesyuarat itu, yang dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan memberi tumpuan pada pengukuhan aliran perdagangan, meningkatkan kerjasama ekonomi serantau serta memperkukuh peranan ASEAN sebagai teras kepada perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia.
Mesyuarat itu juga akan mempersiapkan negara-negara anggota untuk agenda yang akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak RCEP, yang dirancang sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan.
Inisiatif yang diterajui ASEAN ialah perjanjian perdagangan terbesar dunia, meliputi 15 negara anggota, termasuk 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Menurut Tengku Zafrul, RCEP belum me-ngadakan mesyuarat rasmi pemimpin sejak menandatangani perjanjian perdagangan pada November 2020.
Pada Ogos, ketika mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin RCEP, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia, meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan perkumpulan ini ‘tidak seharusnya kekal sebagai dokumen undang-undang di atas kertas, sebaliknya perlu diperbaharui dengan iltizam politik.’ – Bernama


