Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aeril dan Wawa ‘sound’ netizen sentuh isu sensitif

    Pasangan selebriti Malaysia, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal tegas menegur segelintir netizen yang dilihat meninggalkan komen keterlaluan di media sosial.

    Memetik dari mStar, Aeril atau Suhairil Sunari, 35, berkata beliau enggan menjadi mangsa buli siber sekiranya perkara tersebut dibiarkan berlarutan.

    “Kita kena tegas supaya tidak jadi mangsa buli siber di media sosial. Sesekali apabila ada yang komen jahat, kita kena tegur.

    “Mereka yang berani komen sebegitu pun selalunya tak berani nak tunjuk wajah di profil media sosial. Kebanyakannya hanya akaun palsu,” katanya kepada mStar.

    Pasangan itu ditemui ketika majlis pra pelancaran filem terbitan syarikat mereka Respected Citizen Sdn Bhd yang berjudul Klepet pada Rabu.

    Sebelum ini dalam satu sesi siaran langsung di sosial media miliknya seorang pengikut secara sengaja bertanya tentang hubungan mereka dan berharap kedua-duanya akan bercerai.

    Membaca komen tersebut Wawa secara spontan menggelar wanita yang memberi komen itu sebagai sundal.

    Bagi Aeril, beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersoalkan hubungan mereka kerana ia adalah isu sensitif.

    “Kalau beliau nak kata saya buruk atau Wawa tak cantik, mungkin kami berdiam. Itu tak jadi satu isu.

    “Tetapi apabila melibatkan isu hubungan suami isteri ini tak mungkin saya berdiam. Ia satu isu sensitif,” ujarnya.

    Sementara itu, Wawa turut menasihatkan pengikut-pengikut di media sosial supaya menjaga kata-kata mereka.

    Bagi Wawa komen-komen keterlaluan tidak seharusnya menjadi tatapan umum yang boleh dibaca banyak pihak.

    “Kalau boleh cakap perkara yang baik-baik. Saya tegur sebelum ini supaya tiada orang lain yang buat perkara sama,” jelasnya. – Agensi

    Aeril Zafrel bersama isterinya, Wawa Zainal dan anak-anak mereka. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda