Pelakon, Aeril Zafrel memaklumkan dirinya dan isteri yang juga pelakon, Wawa Zainal telah berangkat ke tanah suci bersama bagi menunaikan umrah.
Menerusi hantaran di Instagram, Aeril memohon agar orang ramai dapat menitipkan doa buat mereka agar ziarah dan umrah mereka diterima Allah serta memohon maaf sekiranya terdapat salah dan silap.
“Assalamualaikum alhamdulillah Insya Allah kejap lagi saya dan isteri akan menunaikan umrah. Doakan semoga mendapat umrah yang mabrur.
“Dan kami memohon maaf andai ada silap dan salah. Semoga kalian juga dijemput ke sini nanti. Amin,” tulis Aeril.
Di ruangan komen, rata-rata peminat membanjiri dengan pelbagai ucapan dan mendoakan agar urusan ibadah umrah Aeril dan Wawa dipermudahkan.
Pasangan ini telah berkahwin pada tahun 2013. Hasil perkhwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, Aya Soffya, dan Muhammad Fahri. – Agensi
