Aeril Zafrel, Wawa Zainal bina masjid di kampung

Pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal merancang untuk membina sebuah masjid yang mampu memuatkan 700 orang jemaah di kampung halaman aktor itu di Johor Baharu.

Aeril atau nama sebenar Suhairil Sunari, 33, berkata perbincangan mengenainya sudah selesai dan proses pembinaan dijangka akan bermula awal tahun depan.

“Idea ini datang daripada Wawa yang mendengar ceramah Ustaz Abdul Somad tentang andai ingin menempa nama di syurga, jika mempunyai wang lebih maka binalah masjid.

“Jadi, saya sudah berbincang dengan ketua kampung di Rengit, Johor dan bersetuju untuk menghulur dana sekitar RM1.2 juta hasil semua keuntungan produk terbaharu kami, Muslim Bukhari.

“Proses pembinaan dijangka bermula tahun depan… doakan semoga urusan kami ini dipermudahkan,” katanya.

Aeril Zafrel dan Wawa Zainal merancang untuk membina sebuah masjid di kampung halaman Aeril di Johor Baharu. – Agensi

Sementara itu, pelakon drama Cari Aku Di Syurga ini berkata perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bersikap riak.

“Memang bukan berniat nak riak atau menunjuk-nunjuk… tapi ini adalah saham akhirat bersama pelanggan kami.

“Mereka yang membeli turut menjadi penyumbang kepada dana masjid ini dan bukan hanya pada nama saya atau Wawa sahaja.

“Kami juga tidak bercadang menukar nama masjid… apa yang kami harap sumbangan ini memberi manfaat kepada penduduk kampung,” ujarnya.

Wawa dan Aeril berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5 dan Aya Soffya kini berusia 7 bulan. – Agensi