Aerodyne sasar jadi penyedia khidmat dron terkemuka dunia

KUALA LUMPUR, 8 DIS – Pembekal perkhidmatan dron yang dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan, Aerodyne Group, menyasarkan untuk menjadi penyedia perkhidmatan dron terkemuka dunia tahun depan, dengan sumbangan hasil yang lebih baik daripada segmen luar negara.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kamarul A Muhamed berkata kumpulan itu kini mencatat kejayaan besar dalam pertumbuhan perniagaannya dan menduduki tempat ketiga Ranking Penyedia Perkhidmatan Dron 2019 oleh kumpulan penyelidikan industri dron Jerman – DRONE Industry Insight (DRONEII ).

Pada 2018, Aerodyne Group menduduki tempat ketujuh – berdasarkan saiz syarikat, saham pasaran dan perhatian awam sebagai parameter utama, katanya.

“Pengembangan global kami padu, dan kami baru sahja memuktamadkan satu pengambilalihan di Amerika Syarikat, dan menjangkakan banyak lagi dari tempat lain di seluruh dunia.

“Untuk menjadi nombor satu di dunia tidak mudah kerana pesaing kami mempunyai pembiayaan yang besar… jika Aerodyne berada di AS (mungkin) kita akan dapat berkembang lebih pesat dengan pendanaan dan ekosistem yang lebih baik, namun kami bangga dengan Malaysia.

“Walaupun terdapat banyak cabaran, kami meningkat maju,” katanya kepada Bernama, sambil menambah kumpulan itu akan memanfaatkan pelan pengembangan luar negara yang besar pada masa hadapan memandangkan permintaan di pasaran semakin meningkat, terutama dari sektor awam.

Kamarul berkata lebih 60 peratus pendapatan kumpulan kini disumbangkan oleh pasaran tempatan manakala selebihnya dari luar negara termasuk Australia, Denmark, United Kingdom, dan Amerika Selatan.

Beliau berkata kumpulan itu merancang untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran sedia ada iaitu AS, India, Jepun dan Indonesia, pada masa yang sama meneroka pasaran baharu seperti China.

“China merupakan pasaran yang sangat besar. Pada masa lepas, sangat berisiko untuk memasuki negara ini kerana Perlindungan IP (sekatan), namun kami berjaya menyelesaikan masalah itu.

“Kami menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sebelum ini, namun sekarang kami akan menjadi lebih besar, dan dalam tempoh tiga tahun, Malaysia (sumbangan kepada hasil) akan kurang daripada 10 peratus,” katanya.

Kamarul berkata Aerodyne merancang membuat tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, dengan sasaran pasaran bursa asing yang menawarkan penilaian yang lebih baik terutama di Jepun dan Amerika Syarikat.

“Kami melihat pasaran yang lebih besar dan aktif. Kedua-dua pasaran (Jepun dan Amerika Syarikat) pada masa ini menerima baik teknologi baharu,” katanya.

Kumpulan Aerodyne baru-baru ini memperoleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Measure UAS Inc, dengan kepentingan kawalan 60 peratus untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan perusahaan di Amerika Utara. – Bernama