PETALING JAYA, 29 April – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum menerima permohonan Persekutuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) berhubung tempat perlawanan timbal balik antara Timor Leste dan Malaysia untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, 11 Jun ini.
Setiausaha agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata tarikh akhir bagi permohonan telah ditetapkan pada esok (30 April) namun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi dari Timor Leste.
“Saya belum menerima surat yang sepatutnya sudah ada. Maksud saya esok merupakan hari terakhir. Mungkin ada perbincangan namun pegawai AFC belum menerima (surat) setakat hari ini.
“Sepatutnya esok, tinggal sehari lagi. Esok mereka perlu kemukakan tempat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia peringkat Asia di sini.
Malaysia yang kini berada di ranking ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia yang menyertai kelayakan itu, akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan pertama pada 6 Jun.
Pada edisi kali ini, Malaysia berkedudukan 12 pasukan paling rendah dalam kelayakan, perlu bermain pada pusingan pertama dan enam pasukan yang menang akan menyertai 34 pasukan tertinggi di Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Kejuaraan Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.
Kesemua enam perlawanan itu merupakan perlawanan pertama untuk kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di seluruh dunia.
Sementara itu, setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingan menjelaskan FAM tidak mempunyai kuasa untuk membuat permohonan berkaitan penetapan tempat perlawanan timbal balik itu.
“Permintaan berkaitan tempat tidak boleh datangnya dari kita, ia ia mesti datang dari Timor Leste.
Tarikh akhir ialah esok, tetapi bagi pengesahan tempat perlu persetujuan kedua-dua persatuan. Sekarang dari segi formaliti saya rasa perbincangan bagi FAM berjalan lancar cuma perbincangan dengan Timor Leste sedikit lambat. – Bernama