Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan memperkenalkan penggunaan Video Assistant Referee (VAR) buat kali pertama dalam kejohanan kelab semasa perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara AFC di antara Al Nassr dan Al Ahli di Stadium Jassim bin Hamad, Doha, Qatar esok (30 September).
Tahap pengadilan di Asia telah diperkukuhkan apabila kejohanan AFC bawah 23 tahun di Thailand awal tahun ini menjadi kejohanan pertama yang dianjurkan oleh badan pengurusan benua untuk menerapkan sistem VAR di keseluruhan 32 perlawanan.
AFC telah mencapai mercu tan da apabila teknologi tersebut pertama kali digunakan semasa perlawanan suku akhir di Piala Asia AFC di Emiriah Arab Bersatu tahun lalu.
Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim al Khalifa berkata, “Pengadil-pengadil di Asia sudah menjadi antara yang terbaik di dunia, tetapi kita mesti terus meningkatkan standard bagi memastikan AFC terus mendahului dalam bidang pengadilan.”
Beliau menambah, “Sudah banyak yang dilakukan dan permulaan yang selamat Liga Juara-Juara AFC di rantau barat dan memperkenalkan sistem VAR bermula perlawanan suku akhir yang telah mengukuhkan visi AFC untuk membawa pemain-pemain kita, pasukan dan para pengadil perlawanan ke peringkat tertinggi, dalam usaha mempamerkan bakat-bakat mereka.
“AFC telah membuktikan rekod dalam memperkenalkan sistem VAR dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FIFA, IFAB, rakan teknologi kami, kepada tuan rumah – Persatuan Bolasepak Qatar dan semua pihak berkepentingan untuk sama-sama memastikan perlawanan dapat diteruskan dengan standard yang tertinggi,” tambahnya.
Sebagai sebahagian daripada komitmen AFC untuk memastikan pengadil perlawanan Asia dilengkapi dengan perkembangan VAR terkini, beberapa seminar dan kursus telah dijalankan.
Kursus AFC julung kali diadakan secara dalam talian pada bulan lalu, di mana seramai 104 orang pegawai elit perlawanan AFC dari 19 ahli persatuan telah menyertai kursus berkenaan.
Tambahan, bagi meningkatkan kebolehan VAR dalam AFC, Bengkel AFC VAR Information Officer (VIO) secara maya telah diadakan untuk memastikan VIO peka dengan keperluan teknikal mengenai sistem VAR.
Menurut AFC, sistem VAR terbatas kepada empat keputusan atau insiden yang khusus – gol atau tidak,penentuan penalti, layangan kad merah atau tersilap identiti.
Perlawanan lain suku akhir AFC adalah perlawanan antara Persepolis FC menentang Pakhtakor.