KUALA LUMPUR, 28 Feb – Badan bola sepak Asia semalam berkata ia telah menamatkan kontrak LeSports yang dibelenggu masalah kewangan untuk menyiarkan siaran langsung perlawanan di China dan mendapat rakan baru selepas laporan kegagalan pembayaran dan tindakan undang-undang.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata, ia ‘tiada pilihan’ tetapi mengakhiri perjanjian empat tahun bernilai AS$100 juta dengan LeSports China yang sepatutnya berjalan sehingga 2020.
Insiden berlaku berikutan kenaikan mendadak harga sektor sukan China dan amaran dalam media rasmi mengenai ‘gelembung’ bola sepak China selepas perbelanjaan mencecah AS$1 bilion tahun lepas.
China Sports Media (CSM) kini akan menggantikan LeSports, sebuah anak syarikat firma berteknologi Leeco dan akan menyiarkan siaran termasuk Liga Juara-Juara AFC, kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia 2019.
“CSM mendapat hak untuk pertandingan AFC selepas AFC menamatkan kontrak Le TV (LeSports) yang telah ditandatangani pada Ogos 2015,” kata satu kenyataan AFC.
“Perjanjian baru itu telah dipersetujui bersama Pengerusi CSM Li Yidong dan liputan Liga Juara-Juara AFC di China minggu ini tiada gangguan lagi,” tambah kenyataan itu.
Tiada komen segera daripada LeSports. Jurucakap Lagardere Sport and Entertainment yang mempunyai hak eksklusif terhadap jualan harta media AFC menasihatkan pertanyaan itu diajukan kepada badan bola sepak Asia itu.
Leeco yang bercita-cita tinggi melebarkan kepentingannya kepada kereta autonomi, pembuatan filem dan pembuatan TV selepas perkembangan pesat menyebabkan tekanan ke atas aliran tunai. – AFP