Tuesday, February 11, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afdlin dakwa jadi mangsa scam, rugi RM224,750

    Pelakon dan pengarah Malaysia, Datuk Afdlin Shauki berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penipuan atau scam sehingga kerugian mencecah AS$50,000 (RM224,750).

    Afdlin berkata, penipuan itu dilakukan individu yang kononnya ingin menjadi perunding bagi mencari dana untuk Afdlin membuka stesen televisyen.

    “Saya pernah kena sekali, sampai ke Singapura. Waktu itu, saya sedang berusaha dapatkan dana bagi membuka stesen TV saya sendiri.

    “Saya sudah dibawa ke kawasan Marina Bay, Singapura dan berjumpa individu berkenaan. Saya memang percaya betul sebab mesyuarat dijalankan atas kapal layar.

    Afdlin berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penipuan atau scam sehingga kerugian mencecah RM224,750. – Kosmo Digital

    “Kemudian, untuk menandatangani kontrak pula, saya perlu ke London dan masuk ke bank elit. Jadi, memang itu meyakinkan saya bahawa individu ini melakukan urusan sahih,” katanya kepada Harian Metro.

    Tambah Afdlin, ada beberapa perkara membuatkannya yakin sedang berurusan dengan individu sah.

    “Menurut individu ini, dia memegang wang yayasan orang-orang bersara di United Kingdom dan bila disemak laman web, memang ada muka dia.

    “Bila diselidik mengenai syarikatnya, memang wujud secara sah. Jadi, itu lebih meyakinkan.

    “Jiwa sudah rasa tak jauh lagi untuk saya ada stesen TV sendiri. Tapi, rupa-rupanya itu adalah scam,” katanya.

    Walaupun laporan polis sudah dilakukan, Afdlin tidak menafikan bahawa penipu sentiasa mempunyai akal yang licik.

    “Saya pernah muat naik gambar individu ini dalam Facebook dan ramai orang Indonesia yang tahu kewujudan individu ini minta saya mengesahkan sama ada melakukan urusan sah atau tidak.

    “Kerugian disebabkan penipuan itu juga sangat teruk mencecah RM224,750. Nilai ini dibayar untuk gunakan khidmatnya sebagai perunding sahaja. Sebijak mana pun kita, penipu-penipu ini lebih bijak.

    “Sekarang, dia membuka bank sendiri di luar negara. Laporan polis sudah dibuat, namun tak ada apa dapat dilakukan kerana dia sangat licik dan berpindah-randah,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda