Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afdlin Shauki hantar tanda terima kasih kepada Kedutaan Turkiye

    Pengarah dan pelakon Datuk Afdlin Shauki menyampaikan jambangan bunga kepada kakitangan di Pusat Bahasa dan Budaya, di bawah Kedutaan Turkiye di Malaysia kelmarin sebagai simbol penghargaan dan terima kasih rakyat terhadap keprihatinan kerajaan Turkiye.

    Pemberian ikhlas itu sebagai penghormatan atas peranan penting Kerajaan Turkiye dalam mempermudahkan perjalanan pulang sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla baru-baru ini.

    Menerusi rakaman video yang dikongsi oleh Astro Awani di laman TikTok, jambangan bunga itu dipercayai disampaikan melalui inisiatif Yayasan Afdlin Shauki.

    Dalam hantaran sama, Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 54, dilihat membuat panggilan kepada seorang individu dipercayai wakil kepada Kedutaan Turkiye di Malaysia.

    “Kami mengambil keputusan untuk datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih. Kami hanya mahu menunjukkan rasa syukur sebagai rakyat Malaysia kerana kerajaan Turkiye membantu sukarelawan kami pulang ke tanah air dengan segera. Kami tidak dapat meluahkan dengan kata-kata, tetapi terima kasih atas hubungan persahabatan ini,” katanya.

    Bagaimanapun, usaha mStar mendapatkan kenyataan lanjut daripada Afdlin tidak berjaya apabila panggilan dan mesej dihantar tidak dijawab.

    Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 42 flotilla kemanusiaan dipintas tentera Israel, mengakibatkan 201 aktivis dari 36 negara ditahan, termasuk 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF. Antara sukarelawan terlibat termasuk penyanyi Zizi Kirana, Datin Seri Heliza Helmi dan Ardell Aryana.

    Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF telah tiba di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan Sabtu lalu. – Agensi

    Yayasan Afdlin Shauki mengambil inisiatif memberi penghargaan kepada Kedutaan Turkiye sebagai tanda persahabatan. –  mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda