Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AFF: Skuad futsal menang 5-0

    Oleh Mohamad Asyramisyanie & Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Brunei Darussalam mengakhiri kempennya dalam Kejohanan Futsal AFF 2017 dengan mencatatkan keputusan positif apabila mengecewakan Filipina dengan jaringan 5-0, sekali gus membawa pulang tiga mata dan lima jaringan.

    Pertembungan antara dua pasukan yang belum meraih sebarang mata dan jaringan itu berlangsung sengit pada babak pertama sehinggakan hanya satu jaringan memisahkan antara kedua pasukan menerusi rembatan ketua pasukan, Muhammad Naqib pada minit ketujuh.

    Pasukan Tabuan Futsal yang ketika ini berada di kedudukan ke-111 dunia meraih gol keduanya empat minit selepas rehat sekali lagi menerusi Muhammad Naqib, disusuli jaringan ketiga oleh Faiz Hasnan pada minit ke-29.

    Syahremi mencetak gol keempat negara selepas umpanan cantik Azim Boll Hassan pada minit ke-34, sebelum Faiz menendang bola leret yang masuk antara dua kaki penjaga gawang Filipina seminit sebelum wisel penamat untuk pasukan negara melakar kemenangan berharga 5-0 ke atas lawan di kedudukan 109 dunia itu.

    Ketua Jurulatih Futsal Brunei Darussalam, Haji Mohd Yunos bin Haji Mohd Yusof ketika dihubungi Media Permata menyatakan rasa gembiranya dengan persembahan anak buahnya sehingga mampu menamatkan perlawanan tanpa bolos, termasuk Haji Mohd Nabil yang banyak melakukan penyelamatan menakjubkan di gawang pasukan negara.

    Gambar ihsan AFF menunjukkan antara aksi menarik ketika perlawanan Brunei Darussalam membenam Filipina dalam Kejohanan Futsal AFF 2017 di Vietnam.

    “Alhamdulillah walaupun hanya lima jaringan, apa yang penting pasukan kitani mencapai kemenangan dan membawa tiga mata berharga. Melihat kepada statistik permainan, pasukan kitani boleh menjaringkan sehingga 15 gol atau lebih tetapi disebabkan kurangnya penyudah yang berkesan, itu sahaja yang termampu,” ulasannya mengenai perlawanan itu.

    Beliau kemudiannya menekankan kepada pemain bahawa latihan haruslah berterusan iaitu jangan hanya menunggu ketika ada kejohanan di peringkat antarabangsa barulah hendak bersedia, dan perkara ini terpulang kepada pihak persatuan.

    Menurutnya lagi, para pemain haruslah berfikiran profesional dan tidak ego selepas terpilih dalam skuad kebangsaan serta mementingkan diri sendiri. Berdisiplin dan komitmen adalah sangat dititik beratkan dalam pasukan, baik semasa latihan mahupun dalam permainan, tambahnya.

    Haji Mohd Yunos menegaskan para pemain haruslah belajar dari segi teknik dan taktik permainan serta melihat bagaimana corak permainan pemain sesebuah negara yang maju dalam permainan futsal seperti Thailand, Vietnam, Malaysia, Myanmar, Indonesia dan sebagainya iaitu bukan sekadar menilai kekuatan pasukan itu dan kehandalan para pemainnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda