Penyanyi Afgan kembali menghangatkan arena muzik pop dengan single baharu berjudul Kacamata yang turut dimuatkan dalam album Retrospektif.
Menurut Afgan atau Afganshah Reza, 36, selepas tujuh tahun tidak melancarkan album berbahasa Indonesia sepenuhnya, Retrospektif menjadi simbol kepulangan dia kepada gaya muzik asal yang membawa namanya dikenali ramai.
“Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat tepat untuk membuka tirai album baharu saya,” katanya.
Dalam pada itu, Afgan juga berkongsi bahawa lagu ini membawa mesej yang mendalam kepada pendengar, menurut laporan mStar.
“Jangan terlalu berharap pada manusia, kerana satu-satunya yang boleh kita sandarkan hanyalah Tuhan. Lagu ini ibarat peringatan untuk kita semua agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berhadapan dengan kekecewaan.
“Dengan ritma yang ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata ialah lagu yang memberi rasa positif sekali gus membuat pendengar tersenyum di tengah kegalauan, menyedarkan kita bahawa hidup tak selamanya berat, dan mengajak kita menikmati setiap fasa kehidupan,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung penghasilan lagu Kacamata, Afgan memberitahu dia turut bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat iaitu Iqbal Siregar, Petra Sihombing, dan Kamga Mohammed dalam menghasilkan lagu tersebut.
Tambahnya, proses rakaman juga berjalan lancar mengambil masa hanya dalam setengah hari.
“Iqbal membawa idea awal berupa melodi yang menarik untuk bahagian korus, yang kemudian dikembangkan bersama hingga siap dalam tempoh hanya dua jam. Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga turut berperanan sebagai pengarah vokal di samping menjadi komposer bersama.
“Proses rakaman lagu ini berlangsung pantas namun teratur yang mana sesi rakaman vokal diselesaikan dalam setengah hari, manakala keseluruhan produksi muzik termasuk proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ disiapkan dalam tempoh sekitar dua bulan,” ujarnya.
Lagu Kaca mata mengekalkan identiti pop yang sinonim dengan Afgan, namun diperkaya dengan elemen R&B moden dan produksi muzik yang lebih kontemporari.
Dari segi tema, lagu ini membawa kisah tentang seseorang yang sanggup mengubah diri dan sudut pandangnya demi cinta, akhirnya menyedari bahawa semua pengorbanan itu sia-sia kerana diberikan kepada insan yang salah.
Ia menjadi metafora tentang kehilangan jati diri, pengkhianatan terhadap diri sendiri, serta makna sebenar cinta yang tulus.
Single terbaharu Afgan ini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 10 Oktober lalu. – Agensi


