Penyanyi popular Indonesia, Afgan, 34, memilih mengabdikan pengalaman sedihnya dalam perpisahan menerusi lagu terbaharu berjudul Ada.
Lebih istimewa, Afgan menyampaikan keresahan hatinya bersama pasangan duet, Lyodra.
Afgan atau nama sebenar, Afgansyah Reza berkata, lagu Ada ditulis selepas menerima berita insan paling rapat dalam hidupnya memutuskan berpisah dengan pasangannya selepas bertahun-tahun menjalinkan hubungan cinta.
“Apabila mendengar berita ini, saya sangat sedih jadi memutuskan untuk meluahkan perasaan saya dengan menulis lagu Ada, dengan harapan mereka dapat kembali bersama suatu hari nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian Online.
Soal kerjasama bersama Lyodra, Afgan berkata, pengenalan berlaku di media sosial, tahun ini dan dari situ, hasrat berduet menjadi kenyataan, lebih lagi apabila saling mengagumi bakat masing-masing.

“Saya dan Lyodra bersama mencari lagu yang sesuai, tapi tidak dapat. Sampai akhirnya, saya diingatkan mengenai lagu Ada yang saya tulis, tiga tahun lalu.
“Saya memperdengarkan kepada Lyodra dan terus suka. Ternyata, lagu ini memiliki waktunya sendiri dan lebih bagus dibawakan berdua,” katanya.
Menurut Afgan, dia berusaha sehabis baik untuk memastikan lagu Ada dapat dihasilkan sebaik mungkin kerana lagu itu sendiri mempunyai makna mendalam buat dirinya.
“Lagu ini sangat peribadi dan saya sangat sayang kepada lagu ini. Lyodra sendiri juga mahu menerokainya.
“Dia sangat menyenangkan membuat saya yakin hanya Lyodra yang sesuai membawakan lagu ini bersama saya,” katanya. – Agensi