Tindakan penyanyi popular Indonesia, Afgan memuat naik gambar memperlihatkan dirinya mengenakan sut hitam dan putih lengkap dengan bunga korsaj bagaikan seorang pengantin telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan peminatnya.
Ramai menyangka Afgan akan mendirikan rumah tangga dan ramai dilihat membuat andaian kononnya penyanyi itu bakal berkahwin dengan Rossa.
“Adakah akan tiba hari patah hati nasional? Pastinya dengan Rossa, bukan?
“Gaya macam hendak pergi bernikah, tetapi dengan siapakah?,” antara komen warganet di Instagram miliknya.
Bagaimanapun, Afgan langsung tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai gambar tersebut biarpun ia menjadi perdebatan dalam kalangan peminat tentang maksud di sebalik gambar tersebut.
Malah semakan di Instagram milik Rossa juga tidak memberi sebarang bayangan bahawa dirinya akan berkahwin.
Hubungan kedua-dua selebriti terkenal ini hangat diperkatakan sejak 2019 namun mereka tetap mendiamkan diri tanpa mengesahkan sama ada benar sedang menjalinkan hubungan istimewa atau pun tidak. – Agensi
