Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afgan sedia berduet dengan Siti Nurhaliza

    Penyanyi Indonesia, Afgan terbuka untuk berkolaborasi dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekiranya diberi peluang dan mendapat lagu yang tepat.

    Afgan atau Afganshah Reza, 36, berkata sekiranya kolaborasi itu menjadi kenyataan dia akan memastikan karya yang dihasilkan mempunyai makna yang kuat.

    “Buat masa ini belum ada sebarang perancangan kerjasama bersama Siti. Tapi bagi saya, lagu itu nanti harus betul-betul mempunyai makna dan ‘nyawa’ yang sesuai untuk kami berdua.

    “Tidak boleh asal pilih lagu. Kalau satu hari nanti ada kolaborasi, saya ingin lagunya benar-benar tepat,” katanya kepada mStar.

    Afgan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Retrospektif Showcase yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

    Ditanya mengenai kenangan manis bersama Siti di Festival Muzik Pestapora di Jakarta Indonesia pada September lalu, Afgan berkata, momen persembahan duet itu berlangsung secara tidak sengaja.

    Kata Afgan, ketika Siti menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa, penyanyi terbabit secara tiba-tiba menjemputnya untuk menyanyi bersama di atas pentas.

    “Waktu itu saya baru selesai membuat persembahan dengan Raisa. Saya nampak dalam jadual ada Siti, jadi saya cakap nak datang tonton. Sebelum menonton persembahan saya sempat ke belakang pentas, bersalaman dan ucap good luck kepada Siti.

    “Ketika saya menonton persembahan itu, tiba-tiba waktu Siti menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa, Siti datang ke arah saya dan mengajak saya menyanyi bersama.

    “Saya terkejut tapi naik juga atas pentas dan menyanyi. Nasib baik saya pernah bawakan lagu itu di Pulau Pinang jadi saya masih ingat,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Afgan berkongsi rasa teruja apabila Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran showcase bagi album terbaharunya berjudul Retrospektif.

    Showcase ini sangat istimewa kerana ia akan menjadi kali pertama saya mempersembahkan lagu-lagu baru daripada album Retrospektif. Di Indonesia pun saya belum anjurkan konsert album baru ini.

    “Malaysia akan menjadi tempat pertama untuk menyaksikan saya mempersembahkan lagu-lagu baru secara langsung. Setiap kali saya buat persembahan di sini, peminat Malaysia antara yang paling seru dan menyenangkan.  Jadi saya gembira memilih Malaysia sebagai lokasi pertama untuk showcase album ini,” katanya. – Agensi

    Afgan (kiri) tidak menolak untuk berkerjasama dengan Siti. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda