Biarpun sering beraksi di pentas sejak mencipta nama kira-kira 14 tahun lalu, penyanyi popular Indonesia, Afgansyah Reza atau Afgan, 33, masih gugup berdepan peminat.
Ketika ditemui pada sidang media sempena Konsert Afgan Evolution yang menghangatkan Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu, Afgan yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta, berulang kali meluahkan rasa gementarnya apabila muncul di pentas.
“Gugup setiap kali mahu buat konsert, pastinya saya gugup,” katanya.
Namun, rasa gugup hilang apabila melihat ramai teman seperjuangan dari Indonesia dapat mementaskan konsert dengan baik, apatah lagi, kemunculannya di Kuala Lumpur, kali ini, mendapat sambutan hangat penonton yang ‘menyapu’ bersih semua tiket.
Afgan berkata, teman baiknya, Rossa pernah mementaskan konsert di lokasi sama, malah, kehadiran beberapa artis Indonesia seperti Raisa dan Marcell yang menjayakan persembahan di Kuala Lumpur, membakar semangatnya untuk beraksi.

“Saya senang sekali melihat teman saya kembali ke Malaysia. Itu yang memberi motivasi dan inspirasi buat saya ke sini, selepas kali terakhir, empat tahun lalu.
“Sambutan peminat di Malaysia memberikan saya semangat untuk menjayakan persembahan yang boleh dibanggakan.
“Persembahan yang pada mulanya dirancang di Kuala Lumpur, akan dibawa ke tempat lain juga,” katanya.
Konsert Afgan Evolution menjadi menjadi pentas buat Afgan berkongsi evolusi muziknya.
Tidak mahu hanya dikenali sebagai Raja Pop Balada, Afgan yang tampil dengan imej baharu tanpa kaca mata selepas membuat pembedahan mata laser assisted in-situ keratomileusis (LASIK), Mac lalu, mahu berkongsi sisi berbeza menerusi album bahasa Inggeris, Wallflower yang dilancarkan, tahun lalu dan album +62 yang dipasarkan tahun ini. – Agensi