Saturday, July 6, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Afghanistan dan Toyota berpisah tiada

    Gambar AFP

    KABUL – Tidak banyak yang pasti di Afghanistan – tentera menyerang dan mundur, kerajaan bangkit dan jatuh – tetapi apabila kunci Toyota Corolla diputar dalam pencucuh, enjin pasti dapat dihidupkan.

    Sebuah kereta Jepun yang sederhana dengan reputasi yang boleh diharapkan, Toyota Corolla dikatakan sebagai kereta paling popular di dunia, dengan lebih daripada 50 juta dihasilkan sejak 1966.

    Tahan lasak, ringkas dan mampu milik, ia sesuai untuk dipandu di sebuah negara di mana keadaan jalan raya begitu teruk sekali, kerja-kerja pembaikan bergantung pada rantaian bekalan yang terputus, dan mentaliti ‘asalkan boleh’ telah muncul dari bertahun-tahun hidup dalam kesusahan.

    “Kereta ini selalu tersedia untuk orang ramai,” kata mekanik, Mohammad Aman. “Jika awda mengembara dengan kereta ini, ia boleh membawa awda ke mana-mana.”

    “Corolla adalah kereta yang pantas, logamnya tebal, dan ia berfungsi dengan baik,” kata lelaki berusia 50 tahun itu kepada AFP. Menurutnya, kereta lain ‘lemah seperti kertas’ berbanding Corolla.

    Seorang pekerja membersihkan kereta Toyota Corolla yang diletakkan di sebuah pengedar di Qasaba, Kabul.

    Sekumpulan kanak-kanak lelaki menaiki sebuah teksi Toyota Corolla di Kabul.
    Seorang penjual alat ganti kenderaan melihat kereta Toyota Corolla di kedainya di Kabul.
    Seorang mekanik membaiki kereta Toyota Corolla di pasar di Kabul.
    Seorang budak lelaki Afghanistan berdiri sementara mekanik membaiki kereta Toyota Corolla di bengkel di Shuhada-e-Salehin di Kabul.
    Seorang vendor menyediakan alat ganti kereta Toyota Corolla di kedainya di Kabul.
    Gambar fail bertarikh 25 April 2023 menunjukkan kereta-kereta Toyota Corolla dalam kesesakan lalu lintas di bawah jambatan kot-e Sangi di Kabul.

    Di Afghanistan, Corolla boleh dijumpai di merata-rata tempat.

    Deretan kereta dapat dilihat dijual di kawasan parkir di pinggir bandar yang dipenuhi dengan kenderaan tentera Soviet yang berkarat. Teksi Corolla dengan badan yang kemik melambung melepasi humvee yang tidak bergerak sejak tentera Amerika Syarikat (AS) berundur pada tahun 2021.

    Bahkan ketika mendaki bukit dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda, awda mungkin akan dipintas oleh pemandu Corolla yang meluncur laju.

    Dan di seluruh Afghanistan, orang ramai mengagungkan jenama tersebut dengan melekatkan kata-kata mutiara dalam bahasa Inggeris pada kenderaan mereka: ‘Happiness is a Toyota feeling’, ‘Toyota sets the standard’ dan ‘Beautiful Corolla’ telah menjadi slogan tidak rasmi kesesakan lalu lintas Kabul.

    Kegilaan istimewa

    Corolla membanjiri Afghanistan selepas pengunduran tentera Soviet pada tahun 1989 dan keruntuhan USSR yang berikutnya, yang sebelum ini didominasi oleh kenderaan jenama Rusia, Lada. Sejak itu, Corolla telah menghiasi latar belakang dalam sejarah negara.

    Apabila Washington melancarkan serangan udara selepas serangan 9/11, pengasas Taliban, Mullah Omar melarikan diri dari tempat persembunyiannya di Kandahar dalam sebuah Corolla putih.

    Ia terkubur pada tahun 2001 tetapi dengan bangganya digali semula pada tahun lepas dan didapati ‘masih dalam keadaan baik’, kata jurucakap kerajaan Taliban, dan menambah bahawa ia harus dipamerkan sebagai ‘monumen sejarah yang hebat’.

    Sepanjang pemberontakan 20 tahun Taliban, Corolla menjadi pilihan kenderaan untuk pengebom kereta.

    Harganya yang murah dan terselindung dalam kalangan orang ramai, ia dipenuhi bahan letupan dan dipandu ke sasaran dengan kesan yang membinasakan.

    Pada tahun 2022, selepas tentera AS mengundurkan diri, pihak berkuasa Taliban membangga-banggakan kereta sport yang direka bentuk di Afghanistan: sebuah simbol kemajuan yang nampak palsu.

    Tetapi di sebalik bentuk luarannya yang aerodinamik, terdapat bahagian mekanikal Corolla yang sederhana di sebelah dalamannya.

    Di seluruh negara, ahli keluarga yang ramai memenuhi kereta itu, dengan jumlah penumpang jauh melebihi bilangan tempat duduk yang ada.

    “Di negara-negara lain, segala-galanya digunakan dengan cara yang dimaksudkan,” kata peniaga kereta, Azizullah Nazari. “Tetapi di Afghanistan, orang tidak terlalu mempedulikan standard seperti itu.”

    Lelaki berusia 39 tahun itu telah banyak menjual Corolla import yang sesuai dengan bajet orang ramai, dari AS$1,500 hingga AS$14,000, yang kelihatan telah mengharungi laluan yang panjang untuk sampai ke negara itu.

    Dia merujuk kepada model Corolla berwarna putih yang bersih dan berasal dari Kanada.
    Bahagian dalaman kereta itu dilapisi dengan akhbar Korea dan ia mempunyai plat nombor Ghana.

    Model yang lain mempunyai pelekat dari universiti AS, satu lagi mempunyai lambang yang tidak senonoh dari daerah di tengah-tengah Jerman.

    Tetapi semua perjalanan kereta-kereta itu telah menuju ke Afghanistan, di mana ‘orang mempunyai kegilaan istimewa untuk Toyota,’ kata Nazar.

    Kereta yang terbaik dan hebat

    Kebanyakan orang Afghanistan mempercayai kereta tersebut sehinggakan pasar terbesar tempat membaiki kereta di ibu negara itu tidak diturap.

    Shuhada-e Salehin adalah sebuah bengkel di mana Corolla dipuji kerana kebergantungan sehariannya.

    “Sesetengah orang ingin memandu kereta yang ringkas, tetapi sesetengah lagi mempunyai minat untuk menjadikannya cantik,” jelas mekanik Aman.

    Berlumuran dengan minyak enjin, rakan sekerjanya meneliti bahagian bawah hood sebuah kereta wagon 1991 yang sudah teruk, catnya merekah seperti sungai kering, roda belakang diletakkan batu, pelekat ‘fantastic Corolla’ yang mengelupas melekat pada tingkap.

    Di sebelahnya, pekerja yang lain sedang mengutip kabel di bahagian kaki sebuah Corolla yang dihiasi dengan ayat: ‘HighSpeed Toyota. Kereta terbaik dan hebat di dunia. Sesuai dengan semua keadaan’.

    Sebuah model berdekatan berwarna hijau yang pudar diberi gelaran ‘Kereta Klasik yang Dramatik’.

    Di tengah-tengah kesesakan lalu lintas pada suatu petang di Kabul, seorang pemandu teksi, Naqeebullah, berusia 27 tahun, memandu sebuah Corolla yang telah luntur warnanya ketika dia sibuk mencari pelanggan.

    Dia menganggarkan kira-kira 80 peratus kenderaan di jalan raya sepadan dengan keretanya.

    “Semua kereta gagal memberikan hasil kecuali Toyota Corolla,” katanya dengan ringkas.

    Sebuah kad doa tergantung di cermin belakangnya. “Maha Suci yang menjadikan alat pengangkutan ini tunduk kepada kami,” tulisnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...