ISLAMABAD, 14 NOV – Afghanistan hari ini menggesa Pakistan supaya memulangkan beribu-ribu kontena import yang dikatakan terkandas di pelabuhan Karachi sejak Islamabad menyekat kargo transnasional.
Pihak berkuasa Pakistan berkata mereka telah kehilangan jutaan dolar dalam cukai kerana barang-barang dihantar bebas cukai dari pelabuhan mereka ke Afghanistan yang terkandas dilingkungi daratan, dan kemudian di seludup semula melintasi sempadan.
Pihak berkuasa Afghanistan berkata Pakistan telah menahan lebih 3,000 kontena ke Afghanistan di pelabuhan Karachi sambil menuntut lebih banyak bayaran cukai dan duti, menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar kepada peniaga.
Isu itu dibangkitkan hari ini oleh Nooruddin Azizi, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Afghanistan, dalam pertemuan dengan Jalil Abbas Jilani, Menteri sementara Hal Ehwal Luar Pakistan.
Mereka bercakap mengenai ‘masalah transit dan cabaran kedua-dua negara’, kata kenyataan dari kedutaan Afghanistan.

“Beratus-ratus kontena itu telah diletakkan sejak beberapa bulan, manakala beberapa telah dihentikan lebih setahun. Barangan di dalamnya rosak dan peniaga mengalami kerugian,” kata seorang pegawai konsulat Afghanistan di Peshawar kepada AFP.
Perselisihan perdagangan itu adalah salah satu isu yang sulit antara Kabul dan Islamabad sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021.
Bulan lalu Pakistan mengarahkan ratusan ribu pendatang tanpa izin Afghanistan meninggalkan negara itu atau berdepan dengan pengusiran.
Pegawai Pakistan berkata hari ini bahawa, lebih 300,000 warga Afghanistan secara sukarela meninggalkan negara sejak 1 November, tetapi pihak berkuasa Taliban Afghanistan menegaskan majoriti telah dihantar pulang secara paksa.
Pakistan berkata ia telah membuka lima lintasan sempadan baharu untuk membantu mempercepatkan proses itu.
Berjuta-juta rakyat Afghanistan meninggalkan tanah air mereka sejak empat dekad lalu untuk melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan, kebanyakannya menetap di Pakistan atau Iran. – AFP

