Wednesday, November 27, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afghanistan harap AS amal dasar ‘pragmatik’

    NEW DELHI, 7 NOV – Afghanistan berharap Amerika Syarikat (AS) akan mengamalkan dasar yang ‘pragmatik’ terhadap negara itu di bawah pentadbiran Donald Trump, dengan menyatakan bahawa perjanjian damai Doha yang bertujuan menamatkan perang selama dua dekad di Afghanistan, ditandatangani semasa penggal pertamanya.

    Sebagai reaksi terhadap kemenangan Trump, 78, dalam pemilihan Presiden AS kelmarin, Kementerian Luar Afghanistan berkata pihaknya berharap “pentadbiran AS yang akan datang akan menggunakan pendekatan pragmatik untuk memastikan kemajuan ketara dalam hubungan dua hala, membolehkan kedua-dua negara membuka lembaran baharu dalam hubungan yang berasaskan penglibatan bersama.”

    “Selain itu, diharapkan Trump akan memainkan peranan membina dalam menamatkan konflik semasa di rantau ini dan di seluruh dunia, terutamanya kekejaman dan pencerobohan yang berterusan di Gaza dan Lubnan,” tambah kenyataan Afghanistan itu.

    Kementerian Luar Afghanistan turut mengimbas kembali bahawa Perjanjian Doha antara Emiriah Islam Afghanistan dan pentadbiran Trump pada Februari 2020 telah menamatkan pendudukan asing selama 21 tahun di Afghanistan.

    Tentera AS dan asing berundur dari Afghanistan pada Ogos 2021 ketika tentera Taliban mara ke ibu kota Kabul.

    Walaupun Trump mengaku bertanggungjawab atas penamatan perang itu, beliau mengkritik penggantinya, Joe Biden atas pengunduran dan pemindahan tentera yang huru-hara. – Bernama

    Lelaki Afghanistan menonton siaran saluran Tolo News di sebuah restoran di Kabul pada 6 November, yang menampilkan Donald Trump, ketika beliau berucap dalam acara malam pilihan raya di Florida. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda