Pelakon Afifah Nasir (gambar), 29, sudah bersedia melangkah ke jenjang pelamin, namun perlu memberi laluan kepada kakak, Mia Nasir terlebih dahulu.
Afifah mendedahkan, dia juga merancang menamatkan zaman bujang, tahun ini tetapi hasrat terpaksa ditangguh ke tahun hadapan berikutan kesibukan kerjaya lakonan.
Anak keempat daripada lima adik-beradik itu berkata, dia melihat rumah tangga kakak-kakaknya bahagia, ditambah kehadiran cahaya mata membuatkannya turut mengimpikan keluarga sendiri.
“Saya seronok kakak bersama pasangan dan anak-anak mereka ketika kami bercuti bersama.
“Tetapi, saya tidak boleh terburu-buru berkahwin selagi kedudukan kewangan belum stabil.

“Mulanya, saya merancang berkahwin, tahun ini tetapi jadual lakonan pula penuh sepanjang tahun. Jadi, saya tangguhkan perancangan kepada tahun hadapan dan beri laluan kepada Mia,” katanya kepada BH Online.
Mengulas mengenai kekasih hatinya, pelakon drama Hati Yang Dikhianati itu mendedahkan, bakal suaminya hanya orang biasa yang tidak terbabit dalam dunia seni.
Justeru, katanya, dia kurang selesa berkongsi lebih lanjut mengenai jejaka berjaya menambat hati, selain mahu menjaga privasi.
“Dia bukan orang industri dan sangat menjaga privasi. Jadi, biarlah saya rahsiakan identitinya.
“Bagaimanapun, kekasih faham perhatian diberikan terhadap golongan selebriti dan reda dengan perkara itu,” kata Afifah yang ditemui pada sidang media RR Bridal di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur untuk memperkenalkan pereka fesyen junior jenama terkenal itu.
Berkongsi majlis perkahwinan impian, wanita kelahiran Bukit Gelugor, Pulau Pinang itu menginginkan majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja. – Agensi