Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AFMGM bincang kerjasama kukuh kapasiti kesihatan serantau

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-10 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 24 dan 25 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, mesyuarat yang dihoskan oleh Indonesia berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar.

    Siri mesyuarat menteri-menteri berkenaan dimulakan dengan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Kesihatan ASEAN (AFHMM) yang membincangkan mengenai bidang-bidang kerjasama yang mungkin dilaksanakan antara pihak berkuasa kesihatan dan kewangan ASEAN bagi mengukuhkan lagi kapasiti kesihatan serantau.

    Menghadiri mesyuarat berkenaan secara maya ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Yang Berhormat Dato telah menyaksikan intervensi bersama (MOFE dan Kementerian Kesihatan) semasa AFHMM yang menekankan kesaksamaan dan solidariti sebagai
    asas utama bagi pencegahan, kesiapsiagaan dan kapasiti respons pandemik global untuk sebuah medan mainan yang lebih seimbang bagi akses kepada bekalan perubatan penting dan langkah-langkah balas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew turut menghadiri HLD bagi Mempromosi Pembangunan Infrastruktur Mampan. – Gambar serahan MOFE

    Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai pentingnya untuk mengukuhkan rantaian bekalan perubatan global dan bagi sistem amaran kesihatan awal global yang lebih bersepadu.

    Sebagai sebahagian daripada program AFMGM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew juga menghadiri Dialog Peringkat Tinggi (HLD) bagi Mempromosi Pembangunan Infrastruktur Mampan sebagai salah seorang ahli panel.

    Dialog berkenaan membincangkan perspektif jurang pelaburan infrastruktur dan peluang-peluang dalam ASEAN khususnya pemboleh cara utama bagi memupuk keperluan pembiayaan infrastruktur serta penyertaan sektor swasta dalam agenda infrastruktur ASEAN.

    Semasa sesi pleno AFMGM, menteri-menteri dan gabenor-gabenor bank pusat ASEAN membincangkan mengenai prospek serantau dan global serta juga perkembangan kerjasama serantau ASEAN di bawah tema pengerusi ASEAN Indonesia iaitu ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.

    Kenyataan bersama AFHMM telah disokong oleh menteri-menteri kewangan dan kesihatan ASEAN serta AFMGM ke-10 telah disokong oleh menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat ASEAN di mana ia boleh dimuat turun dari laman sesawang Sekretariat ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda