YOKOHAMA, 21 OGOS – Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres hari ini berkata Afrika mempunyai segala yang diperlukan untuk muncul sebagai ‘kuasa besar tenaga boleh diperbaharui,’ sementara menggesa pelaburan lebih besar dalam tenaga hijau di benua yang kaya sumber itu.
Guterres berucap pada sidang pembangunan tiga hari di Jepun yang dihadiri pemimpin Afrika, di mana Tokyo menawarkan dirinya sebagai alternatif kepada China ketika negara-negara Afrika bergelut dengan krisis hutang yang diburukkan oleh pemotongan bantuan Barat, konflik serta perubahan iklim.
“Kita mesti menggerakkan kewangan dan teknologi agar kekayaan semula jadi Afrika memberikan manfaat kepada rakyat Afrika.
“Kita mesti membina asas tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan yang berkembang di seluruh benua,” kata Guterres di Persidangan Antarabangsa Tokyo mengenai Pembangunan Afrika (TICAD).
“Tenaga hijau di Afrika mampu menurunkan kos tenaga, mempelbagaikan rantaian bekalan dan mempercepatkan proses nyahkarbon untuk semua.”
China telah banyak melabur di Afrika sepanjang dekad lalu, dengan syarikat-syarikatnya menandatangani perjanjian bernilai ratusan bilion dolar untuk membiayai pelabuhan, jalan kereta api, lebuh raya dan projek lain di bawah inisiatif infrastruktur global Jalur dan Laluan. – AFP


