Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afrika hadapi beban tidak seimbang akibat perubahan iklim

    ABIDJAN, 2 SEPT – Afrika berdepan beban yang tidak seimbang akibat perubahan iklim dan kos penyesuaian, kata Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dalam laporan baharu, hari ini.

    Benua Afrika telah mengalami pemanasan pada kadar sedikit lebih cepat daripada purata global iaitu kira-kira 0.3 darjah Celsius setiap dekad antara 1991 dan 2023, kata WMO dalam laporannya mengenai keadaan iklim di Afrika tahun lepas.

    Afrika Utara mengalami pemanasan yang paling cepat, katanya. Bandar Agadir di Maghribi mencapai suhu maksimum baharu 50.4 darjah.

    Negara-negara lain menyaksikan hujan lebat yang membawa kepada banjir.

    Aktivis iklim telah lama menegaskan bahawa Afrika membayar harga tinggi untuk perubahan iklim sungguhpun benua itu bertanggungjawab untuk hanya sebahagian kecil daripada pelepasan gas rumah hijau global.

    Sidang kemuncak iklim COP29 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang akan dihoskan oleh Azerbaijan pada bulan November, akan memberi tumpuan sebahagian besar kepada berapa jumlah untuk negara perindustrian yang kaya harus menyumbang untuk membantu negara miskin menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

    “Afrika menghadapi beban dan risiko yang tidak seimbang yang timbul dari peristiwa dan corak cuaca berkaitan perubahan iklim,” kata Josefa Leonel Correia Sacko, pesuruhjaya pertanian, pembangunan luar bandar, ekonomi biru dan persekitaran mampan di Suruhanjaya Kesatuan Afrika, dalam laporan WMO.

    Ia “menyebabkan krisis kemanusiaan yang besar dengan kesan buruk terhadap pertanian, dan keselamatan makanan, pendidikan, tenaga, infrastruktur, keamanan dan keselamatan, kesihatan awam, sumber air dan pembangunan sosio-ekonomi keseluruhan,” katanya. – AFP

    Seorang individu berjalan di atas jalan raya ketika matahari terbenam di Johannesburg, Afrika Selatan, pada 20 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda