Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afrika Selatan akan kemuka bukti Israel lakukan genosid

    RAMALLAH, 11 SEPT – Afrika Selatan mengumumkan hasratnya untuk mengemukakan memorandum kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bulan depan, termasuk bukti yang menunjukkan Israel melakukan jenayah genosid di Palestin.

    Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya, “Afrika Selatan akan menyerahkan memorandumnya kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa bulan depan”, lapor Agensi Berita Palestin, WAFA.

    Ia menambah, “Afrika Selatan berhasrat untuk mengemukakan fakta dan bukti bagi menunjukkan bahawa Israel melakukan jenayah genosid di Palestin,” dan menekankan bahawa “kes ini akan diteruskan sehingga mahkamah mengeluarkan keputusannya.”

    Afrika Selatan turut menyatakan harapannya agar ‘Israel mematuhi perintah sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah setakat ini.’

    Kenyataan itu juga menyebut ‘beberapa negara, iaitu Nicaragua, Palestin, Turkiye, Sepanyol, Mexico, Libya dan Colombia, telah menyertai kes yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel.’

    Pada penghujung Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan saman terhadap Israel di ICJ atas alasan ia telah melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948 mengenai Pencegahan Jenayah Genosid.

    Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza menyebabkan kira-kira 136,000 orang maut dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 10,000 hilang. – Bernama

    Rakyat Palestin menunaikan solat jenazah untuk mangsa yang terbunuh dalam serangan udara Israel di khemah Muwasi, di luar bilik mayat hospital di Deir al-Balah, Semenanjung Gaza, pada 10 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda