Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Afrika Selatan akan uji vaksin terhadap anjing laut

    JOHANNESBURG, 1 OGOS – Anjing laut Cape yang dijangkiti rabies telah menjangkiti sekurang-kurangnya tujuh orang di Afrika Selatan dan pemvaksinan akan diuji untuk cuba mengawal wabak pertama penyakit itu dalam populasi mamalia laut, kata seorang pegawai pengurusan pantai kelmarin.

    Mereka yang dijangkiti penyakit tersebut, contohnya selepas digigit atau dicakar oleh anjing laut yang dijangkiti rabies, telah menerima rawatan tepat pada waktunya dan tiada kematian dilaporkan, kata Pengurus Pengurusan pantai Cape Town, Gregg Oelofse kepada AFP.

    Bandar Cape Town mengeluarkan kenyataan kelmarin yang memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhi mana-mana anjing laut yang berkelakuan luar biasa atau agresif dan melaporkan kes-kes tersebut kepada pihak berkuasa, yang mungkin mempertimbangkan untuk membunuh haiwan tersebut.

    Pamvaksinan akan diuji pada beberapa ekor anjing laut walaupun mustahil untuk melaksanakannya bagi dua juta anjing laut yang tersebar antara selatan Angola dan Eastern Cape di Afrika Selatan, kata kenyataan tersebut.

    Pemvaksinan akan dimulakan dengan haiwan yang sering mempunyai sentuhan dengan manusia, contohnya, mereka yang melawat pelabuhan atau berada di pusat pemulihan.

    Pihak berkuasa juga akan cuba untuk memvaksin anjing laut dari spesies lain yang kadangkala mengunjungi pantai selatan Afrika.

    “Kami teringin sangat untuk menghentikan penyakit ini daripada merebak kepada spesies anjing laut yang seterusnya,” kata Oelofse kepada AFP.

    “Kami tidak pernah memvaksin anjing laut sebelum ini, jadi kami tidak pasti bagaimana ia akan berfungsi,” tambahnya.

    “Tidak pasti sama ada akan berjaya, tetapi itu adalah usaha terbaik yang boleh kami lakukan”.

    Tingkah laku agresif telah dikesan dalam anjing laut Cape sekitar tiga tahun lalu, dengan kira-kira 70 serangan terhadap manusia, tetapi hanya pada Jun lalu baru disahkan bahawa ia disebabkan rabies, katanya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda