ISTANBUL, 24 SEPT – Afrika Selatan menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya mengeluarkan keputusan bahawa genosid sedang dilakukan di Gaza dan mengarahkan ia segera dihentikan, kata Presiden Cyril Ramaphosa semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, lapor agensi Anadolu.
“Afrika Selatan bertindak demi menyelamatkan nyawa dengan menegaskan ICJ perlu membuat keputusan bahawa genosid sememangnya sedang dilakukan di Gaza dan ia mesti dihentikan,” kata Ramaphosa.
“Kita mempunyai tanggungjawab yang amat besar untuk menjamin dan melindungi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya merujuk kepada kes ICJ yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel.
Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Disember 2023, mendakwa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid melalui tindakannya terhadap rakyat Palestin di Gaza. Sejak itu, mahkamah telah mengeluarkan beberapa langkah sementara yang mengarahkan Israel mengambil tindakan bagi mengelakkan berlakunya genosid.
Minggu lepas, Brazil menyertai senarai negara yang semakin bertambah untuk campur tangan dalam kes itu, termasuk Colombia, Mexico, Sepanyol, Turkiye, Chile, Ireland dan lain-lain.
“Terdapat konsensus global yang semakin meluas bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza,” kata Ramaphosa sambil merujuk kepada laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki minggu lepas, yang mengesahkan Israel telah melakukan genosid di Gaza.
Ramaphosa berkata persidangan itu mencerminkan tekad majoriti global yang semakin berkembang, iaitu 142 negara yang ‘mengiktiraf rakyat Palestin berhak memiliki sebuah negara yang aman di samping Israel yang aman.’ – Bernama


