Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Dalam usaha berterusan untuk menyokong dan membantu meningkatkan sosioekonomi Rakan Seliaan (RS), Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan komitmen padu bagi mencapai matlamat berkenaan.
Sehubungan dengan itu, Majlis Menandatangani Kerjasama dan Persefahaman antara AFSA dan Al-Barakah Company (ABC Eats) telah berlangsung di Pejabat AFSA, Jalan Kebangsaan, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AFSA, di sini, menyatakan dengan penandatangan perjanjian berkenaan, kerjasama dalam usaha berterusan menyantuni Rakan Seliaan akan dapat direalisasikan bagi meningkatkan kemahiran serta peluang-peluang pekerjaan yang akan ditawarkan dan disediakan oleh pihak Syarikat Al- Barakah [ABC Eats] kepada para RS.


Hadir untuk menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Penolong Pengarah BKN, Awang Mohamad Abu Nor Ali Shamsul bin Awang Mohamad.
Turut hadir ialah Yang DiPertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhammad Jaya, Timbalan Yang DiPertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri, Setiausaha Agung AFSA, Haji Mahali bin Haji Hassan, Pengarah Keusahawanan, Hajah Salamah binti Haji Mohd Noor, Pengarah Operasi, Ali Adel Ali Al-Nakhlani, Penyelaras HACCP dan Latihan AFSA, Mohammad Sahril bin Haji Mahiri, ahli-ahli AFSA dan Rakan Seliaan.
Bagi penandatanganan berkenaan, pihak AFSA telah diwakili oleh Hajah Juhana, manakala pihak Al-Barakah Company (ABC Eats) diwakili oleh Pengurus Besar, Namatuula Najudeen.
Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Haji Mahali menzahirkan rasa puas hati dengan usaha itu serta berharap MoU serupa juga akan dapat menarik perhatian Syarikat-Syarikat lain dan Rakan Strategik AFSA dapat membantu serta menyokong Rakan Seliaan supaya dapat membangunkan potensi diri mereka ke arah yang lebih baik dan berjaya dalam mengharungi liku-liku kehidupan dengan lebih cerah.

