Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Aftercare Support Association (AFSA) mengadakan lawatan sambil belajar di tiga buah rumah perantaraan di Negeri Selangor dan Negeri Melaka, Malaysia, baru-baru ini.
Semasa lawatan berkenaan, rombongan AFSA yang diketuai oleh Yang Di-Pertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya, telah dialu-alukan oleh pegawai-pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia, pengawai-pegawai parol dan penguasa setiap rumah perantaraan yang dilawati.
Dalam lawatan itu, rombongan telah diberikan taklimat terperinci mengenai dengan tatacara dan prosedur pengurusan dan pengendalian rumah perantaraan di setiap negeri berkenaan, sesi soal jawab bersama pegawai parol, berinteraksi dengan bekas-bekas banduan dan meninjau kemudahan-kemudahan yang ada di dalam rumah perantaraan.
Menurut Timbalan Yang Di-Pertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri, hasil daripada lawatan berkenaan adalah sangat signifikan dan berfeadah bagi pihak AFSA untuk mengongsikan bersama dengan Jabatan Penjara di Brunei seperti aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran rumah perantaraan.
Selain itu, berkongsi tentang fasiliti-fasiliti yang perlu disediakan, tenaga kerja yang mencukupi dan penglibatan NGO serta syarikat-syarikat dalam sama-sama menangani isu-isu bekas banduan yang keluar bebas menjalani hukuman kelak.
Rumah perantaraan juga merupakan platform atau landasan bagi bekas banduan dapat menjalani kehidupan dalam komuniti masyarakat tanpa stigma negatif daripada ibu bapa dan masyarakat.
Hasil penubuhan rumah perantaraan di Malaysia sejak 2009 sangat berkesan dalam menyatukan bekas-bekas banduan setelah keluar dari penjara.
Beliau menyatakan harapan supaya hasil daripada lawatan kerja itu nanti akan dapat direalisasikan bagi kewujudan rumah perantaraan di Brunei dalam sama-sama menyantuni bekas-bekas banduan balik ke pangkal jalan dan dapat menyumbangan sesuatu yang positif kepada diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara.


