Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Sebagai usaha berterusan untuk memeduli dan membantu meringankan beban Rakan Seliaan (RS) khususnya dalam persediaan persekolahan bagi anak-anak mereka, Aftercare Support Association (AFSA) menyampaikan sumbangan bantuan peralatan persekolahan kepada anak-anak RS bagi tahun persekolahan 2025 yang berlangsung di pejabat AFSA, kelmarin.
Pada majlis berkenaan, seramai 21 anak-anak RS telah menerima bantuan dengan penyerahan batuan yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir.
Yang DiPertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Yahya dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan, menerangkan bahawa bantuan itu dihasratkan untuk meringankan beban ibu bapa para pelajar bagi menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka, melancarkan proses persekolahan anak-anak mereka serta sebagai dorongan dan motivasi kepada anak-anak RS supaya akan terus berusaha sehingga mencapai kecemerlangan dalam pendidikan mereka.
Beliau turut menyatakan harapan supaya para pelajar akan memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang telah dihulurkan selain menyatakan resipi kejayaan dalam kehidupan ialah memiliki kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Sementara itu, Setiausaha AFSA, Haji Mahali bin Haji Hassan mengongsi ulasan RS dan anak-anak mereka yang menerima bantuan berkenaan di mana mereka melahirkan rasa syukur dan amat berterima kasih kepada Persatuan AFSA atas kesudian untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.
Mereka menyatakan bantuan itu, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka dan mereka berjanji akan terus memberi sokongan serta pemantauan kepada perkembangan anak-anak mereka.
Pihak AFSA turut menyeru semua lapisan masyarakat supaya bersama-sama berganding bahu dalam membantu dan menyantuni RS dan keluarga mereka pada masa akan datang.