Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Perasmian Bangunan Aftercare Support Association (AFSA) dihasrat membantu meningkatkan kemahiran Rakan Seliaan (RS) agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan kondusif dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan atau keusahawanan yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran yang diperoleh mereka.
“Pada masa yang sama dapat membantu Jabatan Penjara mengurangkan kemasukan yang berulang-ulang, seterusnya menyahut Wawasan Negara 2035 agar RS dapat menjadi warga masyarakat yang berkualiti dan harmoni berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB)”.
Perkara itu dikongsikan oleh Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Jaya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian Bangunan AFSA di Jalan Kebangsaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Bangunan AFSA ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin.
Hajah Juhana seterusnya mengongsi latar belakang dan pencapaian AFSA, yang mana ahli-ahli AFSA terdiri daripada beberapa pegawai kerajaan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
“Persatuan AFSA pada masa ini sedang mengungkayahkan tiga projek iaitu memberi latihan dan kemahiran kepada RS yang berminat dalam pertanian khususnya penanaman sayuran menggunakan rumah hijau,” tambahnya.
Selain itu, projek penerusan hafazan Al-Quran bagi RS yang sebelum ini telah mengikuti Program Hafazan Al-Quran yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara, manakala projek ketiga AFSA adalah pengendalian Bengkel Keberkesanan Rehabilitasi dan Reintegrasi kepada ahli-ahli AFSA, Pusat Integrasi dan RS.
“Kesemua projek ini adalah atas bantuan dana yang telah disumbangkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 5 Julai 2024,” jelasnya.
Beliau seterusnya menambah, usaha yang sangat gigih daripada ahli-ahli AFSA bersama pelbagai rakan strategik secara whole of nation telah melaksanakan pelbagai inisiatif.
Ini antaranya mendapatkan beberapa tapak perniagaan tetap yang diberikan oleh pihak Pengurusan Sumbangsih Mulia iaitu perkhidmatan cuci kereta dan gerai makanan yang dikendalikan oleh RS sendiri yang diselia tadbir oleh AFSA.
Di samping itu, Bengkel Pertukangan Kayu yang terletak di belakang bangunan itu dikendalikan oleh Awang Abdul Aziz bin Dolah, seorang RS yang berjaya berkecimpung dalam perusahaan pertukangan kayu selama kira-kira 10 tahun.
“Baru-baru ini beliau telah menandatangani MoU bersama AFSA untuk kebenaran mengadakan bengkel usahawan bertujuan menarik RS untuk meneruskan kemahiran yang sedia ada,” tambahnya.
Dalam menjayakan program-program tersebut, jelasnya, pihak AFSA telah memberikan peluang keemasan yang sangat berguna kepada RS untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengelaman dengan pelbagai kursus, kemahiran dan penempatan kerja di pusat-pusat pengajian, pertubuhan badan bukan kerajaan mahupun rakan strategik lain.
Tetamu kehormat majlis kemudiannya mengadakan lawatan ke sekitar bangunan berkenaan untuk melihat lebih dekat kemudahan yang ada seperti bilik kaunseling, bilik hafazan Al-Quran, demonstrasi pembuatan roti dan kek, rumah hijau dan bengkel pertukangan tangan.