Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Di atas kegigihan dan kesungguhan Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) dalam menggalas dan melaksanakan tanggungjawab bagi menyantuni Rakan Seliaan (RS) di negara ini, AFSA telah dijemput oleh Pihak Rumah Perantaraan Wanita Kota Kinabalu, Sabah bagi menghadiri Majlis Pelancaran Perusahaan dan Pembuatan Kuih Muih di Rumah Perantaraan di Kota Kinabalu, Sabah, pada 28 hingga 30 September.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AFSA, hari ini, mengongsikan jemputan berkenaan merupakan undangan istimewa kepada AFSA di mana seramai tiga ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Tadbir AFSA bersama dua orang Pegawai Biro kawalan Narkotik (BKN) telah menghadiri majlis berkenaan.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Yang DiPetua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Jaya, Pengarah Keusahawan dan Program Rakan Seliaan, Hajah Salmah binti Haji Md Noor, Kaunselor AFSA, Nor Farzana binti Omar Ali, Pegawai Narkotik Kanan, Hartina binti Argas @ Agas dan Pegawai Narkotik, Maswemah binti POKJAID Dato Paduka Hj Awang Mashor.

Semasa berada di Sabah, rombongan juga berkesempatan membuat kunjungan muhibah ke Ibu Pejabat Pengarah Penjara Sabah, TKP Teh Hock Soon dan pengarah- pengarah di setiap daerah di Sabah.
Selain itu, rombongan juga dijemput menghadiri Majlis Penutupan Mypride Fest & Fair, Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2025 bagi Zon Sabah yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, YB Datuk Flovia NG.
Semasa lawatan ke Rumah Perantaraan Wanita Kota Kinabalu Sabah, rombongan juga berkesempatan melihat secara lebih dekat perusahaan Jahitan, Pembuatan kuih muih dan pembuatan Manik.
“Sepanjang lawatan berkenaan, banyak maklumat, program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh residen di rumah Perantaraan di mana ia diharapkan akan dapat diaplikasikan di Brunei nanti,” kata Hajah Salmah.



