Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agama, keluarga penawar penyakit sosial

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Anak-anak adalah kurnia, amanah dan ujian daripada Allah SWT yang mesti dijaga sebaik-baiknya.

    “Oleh itu, ibu bapa bertanggungjawab dan berperanan penting dalam mencorak dan mendidik anak-anak supaya mereka tidak terjerumus dan terlibat dengan kegiatan tidak sihat dan menyalahi undang-undang khususnya penyalahgunaan dadah,” tegas khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Ibu bapa dan Masyarakat Berperanan dalam Membanteras Isu Penyalahgunaan Dadah’, hari ini.

    Katanya lagi, arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan dan hendaklah menjauhinya supaya beroleh kemenangan dan keberuntungan.

    Agama Islam menganjurkan penganutnya untuk sentiasa memelihara nyawa, agama, akal fikiran, harta dan keturunan, di samping itu Islam juga melarang daripada mendekati perkara yang boleh memudaratkan seperti meminum arak, zina, judi, memakan riba, rasuah, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa setiap perkara yang dilarang itu mempunyai hikmah yang tersendiri.

    “Penyalahgunaan dadah adalah dilarang dari segi syarak dan undang-undang negara kerana ia boleh mendatangkan kesan yang negatif dan boleh memudaratkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara,” tegasnya. Manakala, setiap yang memabukkan, mengkhayalkan atau menghilangkan akal fikiran adalah haram.

    Maka, antara langkah penjagaan mengelakkan anak-anak daripada terjerumus dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah ibu bapa perlu memberi pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak dari kecil lagi, di samping memastikan mereka melaksanakan ibadat dengan sempurna terutama sekali sembahyang fardu lima waktu kerana ibadat sembahyang boleh mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

    Selain itu, mengeratkan hubungan mesra dan kasih sayang antara ahli keluarga dengan mendengarkan apa juga permasalahan, rintihan dan curahan rasa yang diluahkan oleh anak-anak supaya mereka tidak terasa kekosongan dan merasakan diri mereka tidak dipeduli oleh keluarga.

    Bukan setakat itu, ibu bapa juga perlu memantau pergaulan, aktiviti dan permasalahan anak-anak bukan saja semasa mereka berada di rumah tetapi semasa mereka berada di luar rumah. “Ibu bapa atau penjaga perlu mengetahui dengan siapa anak-anak mereka berkawan atau bergaul, di mana perkara ini boleh mengelakkan dari terpengaruh dan terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral seperti penyalahgunaan dadah,” tambahnya.

    Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mendoakan anak-anak dengan kebaikan dan kejayaan di dunia dan di akhirat kerana doa ibu bapa adalah mustajab dan diperkenankan oleh Allah.

    Selain ibu bapa, selaku masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membanteras isu masalah penggunaan dadah.

    Khatib seterusnya mengingatkan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah perlu diberi sokongan, dorongan dan motivasi untuk mereka menjauhkan diri dari dadah dan meningkatkan diri khususnya mereka yang dalam proses pemulihan dadah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda