Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agenda iklim kekal cabaran capai SDGs

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Negara Brunei Darussalam telah menduduki tempat ke-84 daripada 193 negara di seluruh dunia dalam Laporan Pembangunan Mapan terbaharu, yang menilai kemajuan negara-negara ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) sekali gus menempatkannya di tangga ketiga di rantau ASEAN.

    Dalam edisi terbaharu laporan tersebut, yang disiarkan oleh Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Negara Brunei Darussalam mendapat skor 68.27 dan mencapai SDGs dalam pendidikan yang berkualiti.

    Sementara itu, untuk air bersih dan sanitasi, serta inovasi dan infrastruktur industri, negara masih berada di landasannya atau mengekalkan pencapaian SDGs.

    Tenaga bersih dan mampu milik masih lagi menjadi cabaran kekal, yang sedang meningkat dengan baik, sementara cabaran yang signifikan tetap ada dalam bidang kesaksamaan jantina, pekerjaan memberangsangkan dan pertumbuhan ekonomi.

    Laporan yang ditulis oleh sekumpulan pengarang yang diketuai oleh Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan, Profesor Jeffrey D Sachs juga menyatakan lebih banyak usaha perlu ditingkatkan dalam agenda iklim.

    Diterbitkan oleh Cambridge University Press, penerbitan tersebut menggariskan kesan jangka pendek COVID-19 pada SDGs dan menggambarkan bagaimana SDGs dapat merangka pemulihan.

    “Buat pertama kali sejak SDGs diadaptasi pada 2015, dunia kehilangan asas dalam SDGs pada 2020.

    Pandemik COVID-19 bukan saja telah mencetuskan kecemasan kesihatan global namun krisis pembangunan mapan,” kata Sachs.

    “Untuk memulihkan perkembangan SDGs, negara-negara membangun perlu peningkatan signifikan dalam ruang fiskal, menerusi reformasi cukai global dan melanjutkan pembiayaan oleh bank-bank pembangunan berbilang pihak.

    “Perbelanjaan fiskal seharusnya menyokong enam transformasi penting SDGs iaitu pendidikan berkualiti untuk semua, perlindungan kesihatan menyeluruh, industri dan tenaga bersih, pertanian dan penggunaan tanah mapan, infrastruktur bandar mapan, dan akses teknologi digital menyeluruh,” ujarnya.

    Pandemik COVID-19 adalah rintangan untuk pembangunan lestari di mana-mana. Penurunan prestasi SDGs secara global didorong sebahagian besarnya oleh peningkatan kadar kemiskinan dan pengangguran.

    Kemerosotan itu kemungkinan besar rendah anggarannya disebabkan sela waktu dalam statistik antarabangsa.

    Dasar kukuh dan kerjasama global yang kuat dapat memulihkan dan mempercepat kemajuan SDG dalam dekad yang akan datang.

    Laporan itu menerangkan kerangka terperinci bagaimana negara dapat maju dengan lebih baik menggunakan SDGs. Finland mendahului Indeks SDGs 2021, diikuti oleh dua negara Nordik – Sweden dan Denmark.

    Menariknya, Finland juga berada di tempat teratas sebagai negara paling bahagia di dunia, menurut data tinjauan yang diambil daripada Gallup World Poll dan diterbitkan dalam World Happiness Report pada bulan Mac 2021 yang lalu.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda