SHANGHAI,30 Okt – Agensi China yang mewakili seorang peragawati Rusia berusia 14 tahun yang meninggal dunia selepas mengambil bahagian dalam Minggu Fesyen Shanghai telah menyangkal dakwaan mengatakan dia bekerja terlalu teruk dan keletihan.
Kematian remaja berkenaan di sebuah hospital China pada Jumaat telah mendedahkan dunia model barat yang suram di China, kebanyakan di antara mereka berasal dari bekas Kesatuan Soviet.
Vlada Dzyuba mula berasa pening dan berasa tidak sihat pada Selasa lalu dan dibawa ke sebuah hospital Shanghai pada keesokan hari, namun meninggal dunia pada Jumaat selepas keadaannya bertambah teruk.

Akhbar bahasa Inggeris The Siberian Times mendakwa Dzyuba meninggal dunia akibat meningitis diburukkan lagi oleh keletihan.
“Kami rasa kesal kami kehilangan seorang yang baik hati,” kata Pengurusan Model ESEE di Shanghai dalam satu kenyataan di Weibo, bersamaan dengan Twitter di China, menegaskan Minggu Fesyen Shanghai berakhir pada 18 Oktober tetapi dia jatuh sakit enam hari kemudian.
Ketua eksekutif ESEE Zheng Yi memberitahu akhbar Global Times bahawa dia telah bekerja selama lapan jam sehari dalam tempoh dua bulan dia berada di China sebelum kematiannya. – AFP