Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Agensi keselamatan tertinggi India siasat letupan di sekolah polis

    NEW DELHI, 20 OKT – Agensi keselamatan tertinggi India bertindak pantas susulan letupan di luar sebuah sekolah polis di New Delhi, hari ini.

    Letupan kuat di kawasan Rohini memusnahkan sebahagian dinding sekolah dan memecahkan cermin tingkap bangunan, menurut laporan media tempatan.

    Kejadian berlaku pada waktu pagi di luar sekolah yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak anggota Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF).

    Pegawai dari Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) dan komando elit Pengawal Keselamatan Negara (NSG) melawat lokasi kejadian.

    Pakar forensik sedang menjalankan siasatan terhadap letupan yang meninggalkan bau busuk di kawasan berkenaan.

    Satu video di media sosial, yang dikatakan merakam insiden itu memaparkan kepulan asap putih.

    Letupan itu turut merosakkan tingkap kedai-kedai berdekatan serta kenderaan berhampiran.

    NSG turut menggunakan robot untuk mengimbas kawasan itu bagi mengesan kemungkinan bahan letupan lain, menurut agensi berita PTI.

    “Sama ada ia sejenis bahan letupan atau sesuatu yang lain hanya boleh dipastikan selepas pemeriksaan rapi. Kami mengesyaki ia bom buatan sendiri.

    “NSG, NIA dan polis Delhi mengepung seluruh kawasan. Polis Delhi sudah dalam keadaan siap siaga kerana musim perayaan,” kata seorang pegawai kanan agensi itu. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda