Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Agensi perkhidmatan awam harus kerjasama capai sasaran’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Perkhidmatan Awam perlu peka terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi dan mesti bersifat tangkas dalam mengemaskini dasar, proses dan perkhidmatan untuk masa depan.

    “Ketangkasan inilah yang menentukan sama ada kita mampu merebut peluang di sebalik setiap cabaran,” menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-32 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

    Baginda bertitah, “Sesungguhnya dalam setiap ujian, Allah SWT telah menyediakan peluang untuk kita dapat berkembang dan maju. Malah dalam setiap kesukaran pasti ada kemudahan menurut Al-Quran.”

    Di peringkat individu, Baginda Sultan bertitah, setiap penjawat awam mesti tangkas dalam melaksanakan tugas dan juga perlu memahami objektif sebenar berkhidmat untuk bangsa dan negara.

    “Kita tidak mahu sebarang kepincangan berlaku dalam perkhidmatan awam negara.”

    Baginda Sultan seterusnya bertitah, “Kita mengakui bahawa apabila kerumitan menjadi realiti, tidak ada satu agensi pun yang mampu menyelesaikan cabaran secara bersendirian. Tiada agensi tunggal yang memonopoli pengetahuan atau kepakaran.”

    Lalu dalam Islam, tegas Baginda Sultan, kita telah diajar untuk saling tolong-menolong dan bekerjasama di mana kerjasama itu adalah kunci utama untuk mencapai apa jua matlamat yang disasarkan.

    “Sehubungan ini, Beta gembira mengetahui adanya inisiatif Pemedulian telah diperkenalkan. Harapan Beta, inisiatif ini bukan setakat untuk mempercepatkan tindakan susulan terhadap aduan dan maklum balas rakyat, malah juga menjadi pemangkin kepada perubahan sikap dan minda dalam perkhidmatan awam.”

    Warga perkhidmatan awam juga, perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, kerana pendekatan seperti itu sudah terbukti mempermudah kerja dan seterusnya memberikan ruang kepada penjawat awam untuk lebih fokus kepada tugas-tugas teras yang sangat perlu.

    Baginda Sultan bertitah, “Beta mahu, apa pun yang dilalui dalam perkhidmatan awam akan dapat menjadi sandaran, bukan sahaja untuk memenuhi kehendak masa kini, malah juga sebagai asas melaksanakan transformasi yang diperlukan dan sekali gus merealisasikan Wawasan Brunei 2035.”

    “Oleh itu, Beta penuh berharap Pameran dan Persidangan Khas Perkhidmatan Awam Tahun 2025 akan mencetuskan wacana dan kefahaman lebih mendalam terhadap pembaharuan yang sedang rancak diteroka di peringkat serantau dan antarabangsa.”

    “Inisiatif ini juga merupakan permulaan yang tepat pada masanya sebagai pemangkin kepada perubahan dan kecemerlangan perkhidmatan awam.”

    Baginda Sultan menyeru seluruh penjawat awam supaya memperkukuhkan lagi perpaduan dan berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara, sesuai dengan sifat perkhidmatan awam sebagai tulang belakang bagi menjayakan segala rancangan untuk kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah mengambil perhatian bahawa dunia adalah semakin cepat berubah sehingga apa yang kita ada sebelumnya mungkin tidak relevan lagi pada hari ini.

    “Begitulah juga dengan cabaran ekonomi global, dengan mengambil kira perubahan iklim dan risiko kesihatan awam yang sukar diramal, serta corak pekerjaan yang berubah akibat kemajuan teknologi.”

    “Ini termasuklah demografi negara yang berubah, dengan penuaan penduduk dan aspirasi generasi muda yang semakin berbeza.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda