RIO DE JANEIRO, 28 JUN – Argentina positif menjelang suku akhir Copa Amerika menentang Venezuela malah ketua jurulatih skuad La Albiceleste, Lionel Scaloni akui mereka sudah tidak sabar untuk memulakan aksi berkenaan pada awal pagi esok.
Sebelum ini Argentina diselubungi prestasi tidak menentu apabila memulakan kempen Copa Amerika dengan kekalahan 0-2 kepada Colombia dan seri 1-1 melawan Paraguay sekali gus meletakkan juara 14 kali itu di ambang penyingkiran awal.
Tetapi, peningkatan prestasi yang ditonjolkan ketika menang 2-0 ke atas pasukan pelawat, Qatar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang membawa mereka ke peringkat kalah mati melonjakkan kembali keyakinan.
“Ia meningkatkan keyakinan. Kami yakin yang kami boleh meneruskannya dan ada aura yang positif,” kata Scaloni yang sedar dengan kemampuan skuad ‘kerdil’ seperti Venezuela, pasukan yang menewaskan mereka 3-1 pada aksi persahabatan di Madrid Mac lalu.
Tidak seperti Argentina, Venezuela belum pernah tewas pada kempen kali ini termasuk seri 0-0 menentang tuan rumah di peringkat kumpulan. Argentina dalam pada itu tidak pernah menang dalam tiga perlawanan terakhir menentang pasukan sama, yang menjadi salah satu daripada dua pasukan di Copa America kali ini yang belum pernah memenanginya selain Ecuador.
Begitupun, Scaloni menegaskan aksi persahabatan pada Mac lalu yang turut tidak menampilkan bintang sensasi Lionel Messi tidak boleh dijadikan kayu pengukur perlawanan kali ini.
“Ia perlawanan yang berbeza, kami bermain dengan tiga pertahanan tengah, barisan yang berbeza bukan saja dari sudut pemain tetapi formasi,” katanya.
“Tidak mudah untuk menentang mereka. Kamu fikir kamu mendominasi perlawanan tetapi dalam beberapa saat mereka akan menyerang dengan pantas.”
Sekali pun dikuatkan dengan pemenang lima kali Ballon d’Or, Messi, kali terakhir Argentina memenangi gelaran utama ialah di Copa America pada 1993. – AFP
